Hasil pemeriksaan pihak polis ke atas beg sandang yang dipakai oleh  suspek telah menjumpai 11 paket plastik lut sinar disyaki dadah jenis Methamphetamine. FOTO Ihsan PDRM
Hasil pemeriksaan pihak polis ke atas beg sandang yang dipakai oleh suspek telah menjumpai 11 paket plastik lut sinar disyaki dadah jenis Methamphetamine. FOTO Ihsan PDRM
Rosman Shamsudin


Slim River: Cubaan seorang lelaki yang membuat pusingan U dan memecut kenderaannya untuk mengelak sekatan jalan raya (SJR) oleh sepasukan polis di Kilometer (KM) 102 berhampiran Taman Bukit Slim di sini, gagal selepas berjaya ditahan, malam tadi.

Hasil pemeriksaan lanjut polis terhadap lelaki berusia 31 tahun itu juga ditemukan 11 paket plastik lut sinar dipercayai dadah jenis methamphetamine.

Ketua Polis Daerah Muallim Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, ketika sepasukan anggota polis dari Balai Polis Slim River membuat SJR pada 11.30 malam tadi berhampiran Taman Bukit Slim mengesan sebuah Perodua Viva dipandu seorang lelaki membuat pusingan U dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, kereta berkenaan kemudiannya memecut secara berbahaya menuju ke arah Trolak.

"Berikutan itu, sepasukan anggota polis mengejar kenderaan terbabit.

"Selepas berjaya menghampiri kenderaan terbabit, pihak polis menmperkenalkan diri dan mengarahkan pemandunya memberhentikan kenderaan terbabit.

"Suspek enggan memberhentikan keretanya itu sebaliknya bertindak menghimpit kenderaan polis," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Hasni berkata, apabila sampai di persimpangan lampu isyarat berdekatan Maktab Rendah Sains Mara Felda (MRSMF) Trolak, suspek bertindak membelok kenderaan menuju ke arah Felda Besout.

Katanya, suspek sekali lagi membuat pusingan U dan melanggar bahagian depan kenderaan pacuan empat roda polis terbabit.

"Akhirnya kenderaan suspek berhenti dan lelaki itu berjaya ditahan, ketika pemeriksaan fizikal dibuat didapati suspek sedang memakai beg sandang berwarna hitam yang bersilang pada badannya.

"Hasil pemeriksaan ke atas beg sandang terbabit, ditemukan dadah berkenaan seberat kira-kira 18.06 gram," katanya.

Beliau berkata, dadah terbabit dianggarkan bernilai RM1,800 di pasaran dan kenderaan suspek dirampas turut dirampas.

Menurutnya, ujian saringan awal air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, hasil semakan rekod lampau didapati suspek yang juga seorang penganggur mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah dan lelaki itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan (KK) kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2022 @ 1:48 PM