ANTARA barangan termasuk disyaki dadah yang berjaya dirampas oleh pihak polis ke atas suspek yang meloloskan diri dari sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Slim River, malam tadi.FOTO Ihsan PDRM
ANTARA barangan termasuk disyaki dadah yang berjaya dirampas oleh pihak polis ke atas suspek yang meloloskan diri dari sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Slim River, malam tadi.FOTO Ihsan PDRM
Rosman Shamsudin

Slim River: Seorang lelaki yang memecut Proton Inspira dipandu selepas melepasi sekatan jalan raya (SJR) berhampiran Plaza Tol Slim River di sini, ditahan polis kira-kira setengah jam kemudian di hadapan Balai Polis Sungkai, jam 10.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Muallim Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, sejurus suspek yang berusia 43 tahun itu memecut, pihaknya terus mengejar lelaki terbabit.

"Suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Slim River. Pemeriksaan menemui beg berisi dadah jenis Methamphetamine serta 25 paket heroin.

"Kami turut menemui bekas kaca yang diubahsuai, ia dipercayai alat yang digunakan untuk menghisap dadah," katanya pada kenyataan hari ini.

Selain itu, polis turut menemui wang RM362 dan telefon bimbit.

Nilai keseluruhan rampasan dadah kira-kira RM2,500. Semakan mendapati, suspek mempunyai satu rekod lampau membabitkan dadah.

"Suspek direman sehingga 14 Mac ini bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12 (2) ADB 1952, Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 5:57 PM