Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Polis Johor mendedahkan 11 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang cuba menyeludup masuk negara ini melalui perairan Pontian semalam, perlu membayar 2 juta rupiah (RM700) kepada dua tekong yang membawa mereka.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata kesemua wanita berusia 25 hingga 35 tahun itu dijanjikan pekerjaan sebagai pembantu rumah di Kuala Lumpur.

"Hasil siasatan yang dijalankan mendapati dua tekong yang membawa 11 Pati mendapat upah daripada ejen di Indonesia yang menjanjikan pekerjaan sebagai pembantu rumah di Kuala Lumpur.

"Selain itu, setiap Pati turut membayar upah 2 juta rupiah bersama RM700 kepada kedua-dua tekong terbabit," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan, enam Pati maut, manakala seorang lagi kritikal dan enam lagi terselamat dalam tragedi bot karam di perairan Pulau Pisang, Pontian pada jam 12 tengah malam, Isnin lalu.

KAMARUL Zaman pada sidang media berkaitan bot karam dan penangkapan tekong dan Pati yang terselamat dalam Op Benteng di IPK Johor, Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan
KAMARUL Zaman pada sidang media berkaitan bot karam dan penangkapan tekong dan Pati yang terselamat dalam Op Benteng di IPK Johor, Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Bot fiber sepanjang 7.61 meter dinaiki dua tekong lelaki dan 11 wanita berusia 21 hingga 35 tahun itu dipercayai bertolak dari Pulau Jaloh, Batam, Indonesia kira-kira jam 9.30 malam Isnin, sebelum dibadai ombak setinggi tiga meter menyebabkan ia terbalik dan karam.

Mereka dipercayai mahu menyusup masuk ke negara ini dengan melakukan pendaratan di sebuah jeti nelayan di Api-api di Pontian.

Sementara itu, Kamarul Zaman berkata Polis Johor akan terus bekerjasama erat dengan Polis Republik Indonesia (POLRI) bagi mengekang kemasukan PATI secara haram ke negara ini.

Katanya, Polis Johor juga akan terus bekerjasama dengan Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Tentera Malaysia ( ATM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi memperketatkan kawalan kemasukan Pati ke negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 2:40 PM