Iman Troye meluangkan masa bersama Nur Mardiah di Aquaria KLCC, Kuala Lumpur hari ini. Foto Rohanis Shukri
Iman Troye meluangkan masa bersama Nur Mardiah di Aquaria KLCC, Kuala Lumpur hari ini. Foto Rohanis Shukri
Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Impian pesakit barah mata tahap empat, Nur Mardhiah Shahadah Abdul Hadi untuk bertemu penyanyi kesayangannya, Iman Troye menjadi kenyataan apabila dapat meluangkan masa bersama di Aquaria, KLCC di sini, hari ini.

Nur Mardhiah, 4, tiba di Aquaria KLCC pada 3 petang bersama ibunya, Nur Natasya Rasid, 25, dan bapa tiri, Muhammad Iqmal Ramli, 26; kakak, Nur Medinna Shahadah, 6, dan adiknya, Nur Zinirah Mikhayla, tiga bulan.

Iman Troye yang popular dengan lagu Teman tidak datang tangan kosong sebaliknya memberi kejutan kepada Nur Mardhiah dengan membawa patung sebagai hadiah buat peminat ciliknya itu.

Dalam pertemuan itu, Iman Troye meluangkan masa selama dua jam membawa Nur Mardhiah melihat hidupan laut yang dipamerkan di Aquaria.

Mengulas mengenai pertemuan itu, Nur Natasya bersyukur dapat membawa Nur Mardhiah bertemu Iman Troye dan tidak menyangka impian itu tertunai tidak lama selepas kisah anaknya dilaporkan Harian Metro.

"Mardhiah suka sangat dengan Iman Troye dan akan menari setiap kali dengar atau menonton video lagu Teman.

"Saya pernah hantar kiriman mesej di Instagram (IG) kepada Iman Troye cuma tiada balasan namun saya tidak berkecil hati kerana faham dia seorang artis dan mungkin sibuk.

"Tak sangka pula, selepas keluar berita di akhbar pada Ahad lalu, pihak pengurusan Iman Troye hubungi saya untuk aturkan pertemuan hari ini," katanya ketika ditemui di ruang menunggu Aquaria.

Nur Natasya mengakui dia dan suami tidak mampu untuk membawa Nur Mardhiah ke Aquaria atau bercuti di tempat peranginan lain buat masa ini kerana masalah kewangan.

"Jadi, kami terpaksa mengharap ihsan orang lain untuk tunaikan impian Mardhiah.

"Keinginan untuk tunaikan impiannya (Mardhiah) itu kuat selepas doktor maklumkan tidak nampak peluang untuknya sembuh.

"Terima kasih sangat kepada Harian Metro kerana menjadi perantara untuk anaknya bertemu dengan Iman dan tidak lupa juga kepada pihak Aquaria atas layanan baik diberikan kepada kami," katanya.

Ahad lalu, Metro Ahad melaporkan perkongsian Nur Natasya mengenai perkembangan terkini Nur Mardhiah yang dilaporkan mempunyai peluang tipis untuk sembuh.

Menerusi laporan sama, Nur Natasya turut meluahkan hasrat Nur Mardhiah bertemu Iman dan keinginannya membawa anaknya itu ke Aquaria KLCC.

Pada Ogos 2019, Harian Metro pernah menyiarkan kisah Nur Mardhiah diuji dengan barah mata tahap empat hingga menyebabkan pancaindera kirinya buta dan rabun pada sebelah kanan.

Selain barah, Nur Mardhiah juga menderita masalah usus, hati bengkak, paru-paru kronik dan kaki bengkok hingga menyebabkan pergerakannya terbatas dan terpaksa menggunakan alat sokongan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 7:37 PM