Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Kerajaan Perak menyediakan pengangkutan ulang-alik bagi memudahkan pasangan suami isteri membawa anak istimewa mereka mendapatkan rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Terdahulu, pasangan terbabit, Nur Natasya Rasid, 24, dan suaminya, Muhammad Iqmal Ramli, 24, serta anak mereka, Nur Mardhiah Shahadah, 3, mendapat perhatian ramai kerana menunggang motosikal dan meredah hujan lebat dari Ipoh ke Kuala Lumpur bagi menjalankan rawatan barah mata kanak-kanak berkenaan.

Pengumuman bantuan berkenaan dilakukan, isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi datang berkunjung ke rumah pasangan berkenaan di Meru Raya di sini, hari ini.

Nomee berkata, kerajaan negeri akan memastikan pasangan itu disediakan pengangkutan termasuk beberapa kemudahan lain ketika rawatan susulan anak mereka dilakukan.

"Mereka terpaksa pergi setiap dua minggu sekali (ke HKL) dan itu adalah satu beban yang sangat tinggi.

"Melalui pengurusan Pejabat Menteri Besar Perak, kita sudah sediakan pengangkutan bagi ke tempat rawatan yang memerlukan mereka berulang alik sama ada ke Kuala Lumpur atau ke mana-mana tempat rawatan lain," katanya.

Menurutnya, pihaknya juga akan memastikan beberapa rawatan susulan Nur Mardhiah dapat dirujuk ke pusat perubatan berhampiran rumahnya di negeri ini.

"Pihak hospital sudah mengetahui kes Mardhiah dah sudah bersedia untuk membantu, jadi rawatan susulan yang boleh dilakukan di Ipoh kita akan cuba membantu.

"Ini kerana bukan mata sahaja bermasalah tetapi juga mempunyai masalah dengan buah pinggang, hati, paru-paru dan masalah saraf, jadi masalah dia sangat berat," katanya.

Nomee memaklumkan, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut menyalurkan sumbangan peribadi dengan membiayai sewa rumah selama enam bulan bagi mengurangkan beban ditanggung pasangan berkenaan.

Sementara itu, Nur Natasya berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri dan semua pihak yang prihatin membantu mereka sekeluarga.

Menurutnya, dia dan suami akan berusaha untuk melakukan yang terbaik demi Mardhiah.

Pasangan suami isteri, Nur Natasya Rasid, 24, dan Muhammad Iqmal Ramli, 24, bersama anak istimewa mereka, Nur Mardhiah Shahadah, 3, ketika ditemui di kediaman mereka di Meru Raya. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Pasangan suami isteri, Nur Natasya Rasid, 24, dan Muhammad Iqmal Ramli, 24, bersama anak istimewa mereka, Nur Mardhiah Shahadah, 3, ketika ditemui di kediaman mereka di Meru Raya. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2020 @ 9:28 PM