Unit Penguatkuasa JPJ Negeri Sembilan melaksanakan operasi khas terhadap lori yang dikesan melakukan pelbagai kesalahan sehingga mengabaikan keselamatan dan kebersihan. FOTO IHSAN JPJ
Unit Penguatkuasa JPJ Negeri Sembilan melaksanakan operasi khas terhadap lori yang dikesan melakukan pelbagai kesalahan sehingga mengabaikan keselamatan dan kebersihan. FOTO IHSAN JPJ
Ahmad Hasbi


Seremban: Wujud banyak lori 'pengotor' yang dikesan berkeliaran meninggalkan sisa tanah dan kotoran di permukaan jalan.

Kesalahan itu dikesan dilakukan segelintir pemandu lori roro yang digunakan untuk mengangkut sampah dan pelbagai sisa binaan.

Susulan itu satu operasi khas dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, di sekitar Lukut, Port Dickson; Pekan Nilai dan Pajam di Nilai di sini, sejak kelmarin.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, pihaknya mengeluarkan saman terhadap 23 lori atas pelbagai kesalahan termasuk tidak menutup muatan dibawa yang boleh membahayakan pengguna jalan raya.

"Lori roro biasanya digunakan untuk mengangkut sampah kitar semula dan sampah buangan. Fungsi yang dilaksanakan lori jenis ini akan melengkapkan kitaran pengangkutan bahan berkenaan ke pusat pelupusan atau pemprosesan berkaitan.

"Bagaimanapun ada segelintir pemandu dan pengusaha kenderaan ini yang kurang menitik beratkan aspek keselamatan, kebersihan dan pematuhan kepada peraturan jalan raya hingga menimbulkan rungutan orang ramai.

"Berikutan itu, Unit Operasi JPJ Negeri Sembilan melakukan tindakan penguatkuasaan ke atas kenderaan jenis ini di sekitar Lukut, Nilai dan Pajam bagi meningkatkan pematuhan kepada Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Kaedah-Kaedah di bawahnya," katanya.

Beliau berkata, sepanjang penguatkuasaan yang dilaksanakan, sebanyak 70 kenderaan jenis itu diperiksa dan 23 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

"Antaranya ialah tiada lesen memandu, tiada Lesen Memandu Kenderaan Barangan (GDL), cukai tamat tempoh dan insuran tamat tempoh.

"Turut dikesan adalah kesalahan tidak tutup muatan dan kesalahan berkaitan teknikal serta penyelenggaraan kenderaan," katanya.

Jelas beliau, penguatkuasaan secara berterusan akan dilaksanakan bagi memastikan pemandu serta pengusaha kenderaan roro ini mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

"Dalam masa sama, pemandu dan pengusaha pengangkutan ini dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi tidak menimbulkan ketidakselesaan kepada pengguna jalan raya lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2022 @ 3:47 PM