Ejen syarikat ais batu dan penyelia kilang ais direman di Mahkamah Majistret Seremban kerana disyaki menawarkan dan memberikan wang rasuah berjumlah RM500 kepada penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). FOTO AZRUL EDHAM
Ejen syarikat ais batu dan penyelia kilang ais direman di Mahkamah Majistret Seremban kerana disyaki menawarkan dan memberikan wang rasuah berjumlah RM500 kepada penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). FOTO AZRUL EDHAM
Ahmad Hasbi


Seremban: Padah menawarkan rasuah kepada penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), ejen syarikat ais dan penyelia kilang ais ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Difahamkan, kedua-dua suspek memberikan suapan supaya pemandu kilang ais mereka tidak dikenakan tindakan kerana dikesan melakukan kesalahan jalan raya.

Menurut sumber, suspek lelaki masing-masing berusia sekitar 20-an dan 40-an itu ditahan kira-kira jam 5.30 petang dan 8.50 malam ketika hadir di Pejabat SPRM Cawangan Port Dickson.

"SPRM menahan ejen syarikat ais dan penyelia kilang ais kerana disyaki menawarkan wang rasuah berjumlah sekitar RM500 kepada penguatkuasa JPJ.

"Berdasarkan siasatan dijalankan, dua suspek terbabit melakukan kesalahan itu bagi mengelakkan pemandu lori kilang ais dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

"Pemandu lori itu didapati tiada lesen memandu (CDL), tiada lesen vokasional (GDL) dan cukai jalan tamat tempoh ketika pemeriksaan di Lukut, Port Dickson," katanya.

Jelasnya, permohonan reman dilakukan di hadapan Majistret Fairuz Syuhada Amran di Mahkamah Majistret Sivil, di sini, semalam.

"Kedua dua suspek dibenarkan reman selama tujuh hari sehingga 6 Februari dan ditempatkan di lokap SPRM Negeri Sembilan. Mereka tidak diwakili peguam," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan terhadap suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 12:33 PM