Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad merayu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk turun padang bertemu dengan penduduk Kampung Sungai Baru, di sini yang runsing selepas berdepan kemelut isu pengambilalihan tanah oleh syarikat pemaju.

Menurut Khalid, campur tangan Perdana Menteri amat perlu bagi membela nasib penduduk yang didakwa tidak dapat berunding secara terus dengan pemaju dan gagal mendapat tawaran harga munasabah.

Menurut Khalid, warta mengikut akta (Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT 1960) juga perlu ditarik balik bagi membolehkan penduduk melakukan rundingan dengan syarikat pemaju bagi mencapai kata persetujuan menang-menang.

"Katanya ada rundingan khas antara penduduk dan syarikat pemaju menerusi satu sesi libat urus pada 7 Jun lalu.

"Bagaimanpun, penduduk mendakwawakil pemaju tidak hadir sebaliknya sesi itu dikendalikan oleh Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) dan apabila diajukan soalan, pengerusi agensi terbabit tidak menjawabnya.

"Jadi, kehadiran ke sesi libat urus itu sia-sia malah tindakan PKB tidak tepat kerana sepatutnya, mereka mewakili penduduk namun mereka jadi wakil pemaju dan ini yang menjadi persoalannya," katanya pada sidang media di Pusat Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, di sini, hari ini yang turut dihadiri penduduk setempat.

"Penggunaan Akta (Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT 1960) juga menimbulkan persoalan kerana tanah itu adalah pemilikan peribadi, mempunyai geran dan sudah menjadi milik mereka sejak berpuluh tahun.

"Jadi, Perdana Menteri perlu masuk campur dengan turun bertemu penduduk dan saya juga sudah membentuk jawatankuasa bagi terdiri daripada beberapa peguam yang boleh mengkaji mengikut sudutundang-undang dan lihat bagaimana boleh mencabar keputusan dalam usaha bantu membantu pemilik supayadiberi hak mereka," katanya.

Dalam pada itu, Azlan Mustafa, 35 yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Penduduk Kampung Sungai Baru faham bukan mudah untuk mencapai kata persetujuan antara dua pihak namun peluang mengadakan rundingan dengan syarikat pemaju sekurang-kurangnya memberi kelegaan kepada penduduk.

"Hampir setahun kami dikenakan warta dan memberi tekanan mental dan fizikal kerana banyak (usaha) sudah dilakukan sebelum ini.

"Sesi libat urus diadakan juga tidak dihadiri wakil syarikat pemaju jadi bagaimana mahu capai matlamat apabila mereka seolah baling batu sembunyi tangan.

"PKB sepatutnya ditubuhkan untuk memantau pembangunan namun jika ini berlaku bukan pembangunan dibawa tetapi ia menggadai hak kami.

"Maka kami berharap dapat berjumpa Perdana Menteri dan menuntut warta ditarik semula bagi membolehkan rundingan terus dijalankan," katanya.

Baru-baru ini, penduduk di situ menerima notis mengikut Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT 1960) yang mengarahkan mereka beredar dari tanah itu.

Bagaimanapun, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) dalam kenyataannya memaklumkan PKB selaku pemegang hak kepada rumah flat itu tiada halangan dan membenarkan bekas pemilik untuk terus mendiami rumah terbabit sehingga 31 Julai depan.

Kenyataan itu dipetik sebagai berkata, PKB akan mengeluarkan surat kebenaran kepada bekas pemilik yang terbabit selepas Borang K dikeluarkan oleh JKPTG.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2022 @ 2:22 PM