Pangsapuri Sungai Baru, antara antara tanah yang diambil bagi projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru. FOTO  Hairul Anuar Rahim
Pangsapuri Sungai Baru, antara antara tanah yang diambil bagi projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru. FOTO Hairul Anuar Rahim
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) menegaskan pengambilan tanah bagi projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru, dekat sini diwartakan mengikut Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT 1960) pada 21 Jun lalu.

JKPTG dalam kenyataan memaklumkan, pengambilan itu membabitkan 72 rumah flat, 37 rumah teres dan satu lot pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Bayaran pampasan rumah flat mula dibayar secara berperingkat pada Februari 2022.

"Pampasan dibayar dalam lingkungan RM198,000 hingga RM350,000 mengikut prinsip Jadual Pertama, APT 1960.

"Mana-mana pemilik rumah yang tidak berpuas hati dengan award Pentadbir Tanah bolehlah mengemukakan bantahan melalui Borang N APT 1960 dalam tempoh 42 hari dari tarikh award," katanya hari ini.

Menurutnya, selepas bayaran pampasan dibayar kepada pihak berkepentingan, JKPTG pada Mac lalu mengeluarkan Borang K (Notis Bahawa Milikan Tanah/Peletakhakkan Petak Telah Diambil) diiringi dengan surat iringan.

"Surat iringan ini dikeluarkan secara pentadbiran untuk menerangkan maksud Borang K.

"Pengeluaran surat iringan ini adalah satu prosedur standard dalam proses pengambilan tanah bagi memaklumkan bahawa rumah flat diletakhakkan kepada badan berkanun yang berkenaan iaitu Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu (PKB)," katanya.

Katanya, PKB selaku pemegang hak kepada rumah flat tiada halangan dan membenarkan bekas pemilik untuk terus mendiami rumah flat yang terbabit sehingga 31 Julai depan.

"PKB akan mengeluarkan surat kebenaran kepada bekas pemilik yang terbabit selepas Borang K dikeluarkan oleh JKPTG," katanya.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mengesahkan pihaknya sudah menerima surat daripada penduduk.

"Saya tidak nampak satu notis pun dikeluarkan, yang ada surat penjelasan daripada KPPTG (Ketua Pengarah Pejabat Tanah dan Galian).

"Saya sudah pun berunding dengan mereka (KPPTG) dan minta supaya penilaian semula dibuat, surat berkenaan dikeluarkan KPPTG dan bukan Kementerian Wilayah Persekutuan," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Shahidan menjelaskan, surat yang dikeluarkan kepada penduduk bukanlah notis tetapi penjelasan mengenai situasi sebenar.

Dalam pada itu, jurucakap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengesahkan, projek itu di bawah Pembangunan Kampung Baru dan notis diberikan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sebelum ini, media melaporkan, penduduk Pangsapuri Sungai Baru di sini terkejut selepas menerima Borang K (notis pengosongan rumah) ketika umat Islam lain sedang menyambut Ramadan.

Wakil penduduk memaklumkan ada antara mereka yang masih belum menerima pampasan sepenuhnya tetapi masih diminta untuk mengosongkan rumah.

"Penduduk flat Sungai Baru dimaklumkan mengenai Borang K pada 22 Mac. Tapi, sebenarnya, borang itu sampai ke tangan penduduk pada 1 April.

"Masalahnya, bila penduduk menerima notis 1 April hanya tiga hari sebelum nak puasa. Adakah patut surat ini dikeluarkan pada waktu penduduk menyambut Ramadan?" soalnya.

Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru membabitkan 67 unit rumah teres dan lapan blok pangsapuri atau 264 unit rumah pangsapuri dikenali sebagai Pangsapuri Sungai Baru dengan proses pengambilan tanah bermula sejak 2016.

Pada Julai 2021, penduduk di Kampung Sungai Baru menerima surat Warta Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960 yang memaksa mereka keluar dari tanah itu dengan pampasan.

Namun, penduduk khususnya penghuni rumah teres tidak setuju dengan kadar pampasan RM400 kaki persegi ditetapkan oleh Pejabat Tanah dan Galian Kuala Lumpur (PTGWPKL).

Sehingga kini, sebanyak 37 penduduk rumah teres tidak setuju dengan pampasan ditawarkan, manakala 27 penghuni bersetuju.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2022 @ 6:52 PM