KEDAI pakaian terpakai yang musnah dalam kejadian itu. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
KEDAI pakaian terpakai yang musnah dalam kejadian itu. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Pemilik sebuah kedai emas di Pasar Keramat, Kampung Dato Keramat, di sini, sanggup meredah asap tebal bagi menyelamatkan barang kemas di premis berkenaan dalam kejadian kebakaran, awal pagi tadi.

Menceritakan semula kejadian itu, Nik Arif Nik Azmi, 34, berkata, dia menerima panggilan daripada orang awam jam 1.15 pagi tadi yang memaklumkan kedai miliknya itu terbakar.

"Saya terus bergegas ke kedai dan sebaik tiba, nampak api sedang marak. Saya bersama beberapa ahli keluarga kemudian terus bergegas masuk ke dalam premis untuk mengambil barang kemas yang ada di dalam kedai.

"Kami turut ditemani anggota polis yang membantu mengawal keselamatan di sekitar kedai terpaksa meredah asap tebal bagi mengambil barang kemas berkenaan.

"Saya bersyukur kerana semua dulang barang kemas dianggarkan bernilai jutaan ringgit berkenaan berjaya diselamatkan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Nik Arif berkata, kejadian itu menyebabkan tiga lot kedainya termasuk tempat membaiki barang kemas rosak akibat kebakaran itu.

"Kebakaran itu bermula daripada kedai pakaian terpakai yang terletak di hadapan kedai kami sebelum ia merebak ke lima lot kedai serta sebuah rumah berhampiran.

"Tindakan pantas pihak bomba berjaya mengawal api daripada merebak yang boleh mengakibatkan kemusnahan lebih besar terhadap kedai kami. Dianggarkan kerosakan berjumlah RM100,000 untuk ketiga-tiga lot kedai ini.

"Sebelum ini, pernah berlaku kebakaran di pasar ini, namun ia membabitkan kawasan hadapan pasar dan bukan kawasan ini," katanya yang memaklumkan kedai itu dibuka sejak 1978.

Sementara itu, pemilik rumah, Mohd Shahril, 39, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, dia sedang tidur di dalam bilik sebelum terdengar bunyi dentuman kuat.

"Saya terjaga dari tidur selepas terdengar bunyi dentuman kuat seperti orang bermain bunga api. Tiba-tiba, saya dengar ibu saya, Sharifah, 72, yang berada di ruang tamu turut menjerit.

"Apabila keluar dari bilik, saya nampak api dari kedai pakaian terpakai berkenaan yang terletak kira-kira 10 meter dari bahagian belakang rumah kami.

"Saya terus bergegas mengambil dokumen penting serta barang berharga sebelum keluar bersama ibu untuk menyelamatkan diri," katanya.

Dia yang juga perunding hartanah berkata, kejadian itu menyebabkan bilik air, bilik menjahit, stor di rumah berkenaan musnah.

"Selain peralatan elektrik, struktur rumah serta pendawaian, mesin jahit ibu turut musnah yang dianggarkan berjumlah antara RM30,000 hingga RM40,000.

"Saya bersyukur kerana dibantu ahli keluarga serta kenalan untuk membersihkan rumah ini yang didiami sejak kecil lagi," katanya.

Berita berkaitan:

  • Pasar Keramat terbakar lagi [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Jun 2022 @ 12:12 PM