Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Orang ramai dan peniaga sekitar Pasar Datuk Keramat di sini, gempar apabila pasar berusia lebih 50 tahun itu terbakar mendadak tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 5.30 petang, lebih 40 gerai terletak di dalam kawasan pasar besar itu musnah dijilat api.

Jurucakap bomba berkata, jentera dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keramat, BBP Setapak, BBP KLCC, BBP Hang Tuah dan BBP Wangsa Maju bergegas ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran.

KEBAKARAN di Pasar Datuk Keramat. FOTO ihsan pembaca
KEBAKARAN di Pasar Datuk Keramat. FOTO ihsan pembaca

Difahamkan majoriti peniaga di kawasan Pasar Datuk Keramat adalah dikalangan Bumiputera yang menjual barang basah, makanan, pakaian dan perkakas rumah.

Api kebakaran bagaimanapun berjaya dikawal sekitar jam 6.30 petang tadi.

Kejadian itu turut tular di media sosial apabila video menunjukkan orang ramai berusaha memadamkan kebakaran besar yang memusnahkan deretan gerai beratap zink itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 7:10 PM