Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Kerajaan kini dalam proses rundingan untuk mendapatkan tambahan 100,000 ubat antiviral Paxlovid.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, setakat ini 48,000 ubat berkenaan sudah tiba di Malaysia dan dalam proses agihan kepada fasiliti kesihatan seluruh negara.

Menurutnya, ubat ini bertindak untuk mengurangkan kemampuan replikasi Sars- CoV-2 seterusnya membolehkan sistem pertahanan badan untuk melawan jangkitan.

"Penggunaan ubat Paxlovid adalah satu lagi inisiatif kerajaan bagi melawan wabak Covid-19 dan ditawarkan secara percuma di fasiliti kesihatan kerajaan iaitu Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan hospital kerajaan

"Pendekatan rawatan ini adalah berdasarkan kajian keberkesanan dan bukti saintifik terkini yang dijalankan di peringkat antarabangsa," katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Katanya, pesakit yang hadir ke CAC dan hospital kerajaan akan disaring dan dinilai oleh pegawai perubatan berdasarkan jumlah skor bagi kriteria yang ditetapkan sebelum dimulakan dengan rawatan ubat Paxlovid.

Beliau berkata, keutamaan rawatan akan diberikan kepada pesakit warga emas, pesakit dengan pelbagai komorbiditi dan 'immunocompromised' (HIV, pesakit yang sedang menerima rawatan kemoterapi).

"Ubat ini perlu dimulakan dalam tempoh lima hari bergejala bagi mencapai keberkesanan yang optimum dengan pengambilan dua kali sehari bagi tempoh lima hari.

"Rawatan Covid-19 melalui pemberian ubat Paxlovid di peringkat awal penyakit dapat mencegah jangkitan daripada menjadi lebih mudarat dan kajian turut menunjukkan penggunaan ubat ini boleh mengurangkan hampir 90 peratus risiko kemasukan ke hospital atau kematian.

"Penggunaan ubat ini tidak bertujuan menggantikan vaksinasi Covid-19 serta pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam mengawal penularan jangkitan kerana vaksin tetap kekal sebagai senjata terbaik bagi memerangi Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2022 @ 5:38 PM