GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
AFP

The Hague: Rawatan antibodi tidak lagi berkesan untuk merawat pesakit Covid-19 yang dijangkiti strain baharu yang kini semakin dominan.

Agensi Ubat-Ubatan Eropah (EMA) memberi amaran, rawatan itu mungkin tidak berkesan untuk strain baharu.

"Ujian makmal menunjukkan rawatan itu kurang berkesan untuk meneutralkan strain Omicron BA.4.6, BA.2.75.2 dan XBB.

"Ia juga tidak meneutralkan BQ.1 dan BQ.1.1 dengan ketara yang dijangka menjadi strain dominan di EU dalam beberapa minggu akan datang," kata pengawal selia yang berpangkalan di Amsterdam itu dalam satu kenyataan.

Pelbagai antibodi monoklonal yang diberikan melalui suntikan atau infusi di hospital mampu merawat penyakit teruk dalam kalangan pesakit berisiko atau yang dimasukkan ke hospital.

Rawatan antibodi utama termasuk Evusheld, keluaran AstraZeneca, Roche yang dikeluarkan Ronapreve dan GSK dan Vir (Xevudy).

Menurut EMA, EU perlu mengekalkan rawatan antiviral seperti Paxlovid Pfizer yang masih berkesan untuk pesakit berisiko tinggi.

Antibodi monoklonal dapat mengurangkan risiko kemasukan ke hospital dan kematian sehingga 80 peratus, namun semakin hilang keberkesanannya kerana virus bermutasi.

September lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan jangan menggunakan Xevudy dan Ronapreve kerana tidak lagi berkesan terhadap varian baharu.

Covid-19 masih belum menunjukkan tanda berakhir apabila Omicron dan sub-keturunannya semakin dominan tahun ini dan dijangka akan berterusan ke tahun 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Disember 2022 @ 1:04 PM