PAXLOVID. FOTO arkib
PAXLOVID. FOTO arkib
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seramai 173 pesakit Covid-19 yang diberikan ubat antiviral Paxlovid sembuh sepenuhnya dan tiada sebarang kesan sampingan dilaporkan hingga 9 Mei lalu, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, penggunaan ubat antiviral itu bagi merawat pesakit Covid-19 telah dimulakan sejak 15 April lalu di 512 Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di klinik kesihatan dan 78 hospital kerajaan.

"Setakat ini, keutamaan pemberian rawatan Paxlovid adalah kepada kumpulan pesakit Covid-19 berisiko tinggi yang mengalami gejala ringan hingga sederhana," katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara kriteria pesakit Covid-19 yang diberi keutamaan ialah berumur 18 tahun dan ke atas, jangkitan Covid-19 kategori 2 dan 3, tidak memerlukan terapi oksigen serta golongan berisiko tinggi mendapat jangkitan Covid-19 yang teruk seperti pesakit diabetes, darah tinggi, buah pinggang, asma dan paru-paru kronik, jantung dan kanser.

Khairy berkata, pesakit Covid-19 dalam kumpulan itu boleh hadir ke CAC di klinik kesihatan dan hospital kerajaan terpilih untuk dinilai kesesuaian sebelum boleh dimulakan rawatan dengan Paxlovid.

"Ubat ini perlu dimulakan segera dalam tempoh lima hari sejak mula bergejala untuk keberkesanan yang optimum bagi mengurangkan risiko komplikasi jangkitan yang lebih teruk," katanya.

Sementara itu, Khairy berkata, pemberian dos penggalak kedua secara sukarela ke atas individu berumur 60 tahun dan ke atas kini boleh dilakukan dalam tempoh empat hingga enam bulan selepas suntikan dos pertama.

Beliau berkata, syor pemberian dos penggalak kedua turut terpakai ke atas individu dewasa berumur 18 hingga 59 tahun yang mempunyai risiko klinikal penyakit teruk (seperti penyakit kronik jantung, paru-paru, buah pinggang, hati dan lain-lain) selepas berbincang dengan pengamal perubatan berdaftar.

"KKM juga ingin memaklumkan bahawa pengambilan vaksin dos penggalak kedua ini adalah secara sukarela," katanya.

Bagi remaja berumur 12 hingga 17 tahun dengan risiko klinikal penyakit teruk pula, beliau berkata, mereka boleh ditawarkan dos penggalak pertama dalam tempoh empat hingga enam bulan selepas menerima suntikan dos primer dan juga berbincang dengan pengamal perubatan berdaftar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2022 @ 4:48 PM