GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Sembilan daerah di Kelantan disenaraikan dalam zon merah kes jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dalam tempoh 10 hari sehingga kelmarin.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata, sembilan daerah berkenaan adalah Kota Bharu yang mencatat sebanyak 705 kes, diikuti Machang (157 kes), Tumpat (126 kes), Pasir Mas (116 kes), Tanah Merah (96 kes), Kuala Krai (92 kes), Bachok (89 kes), Gua Musang (85 kes) dan Pasir Puteh (75 kes).

Katanya, hanya satu daerah iaitu Jeli berada dalam zon kuning dengan 47 kes.

"Jumlah keseluruhan kes HFMD pada Minggu Epidemiologi (ME) 22/2022 dalam tempoh 10 hari sehingga kelmarin adalah sebanyak 1,588 kes. Angka itu menjadikan kumulatif sebanyak 5,782 kes jangkitan untuk tahun ini.

"Kanak-kanak berusia antara satu hingga empat tahun paling ramai dijangkiti HFMD iaitu sebanyak 68.4 peratus, diikuti lima hingga enam tahun (14.4 peratus) dan tujuh hingga 12 tahun (8.3 peratus)," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata, bilangan kanak-kanak yang dirawat di hospital adalah sebanyak dua kes di wad biasa dan seorang mangsa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Beliau berkata, jangkitan HFMD di negeri ini tidak teruk dan hanya bergejala ringan, pesakit hanya menjalani kuarantin di rumah.

"Terdapat 25 wabak yang dilaporkan pada tahun ini iaitu 24 adalah membabitkan taska atau tadika, manakala empat wabak adalah di rumah persendirian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2022 @ 5:15 PM