GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Kelantan mencatatkan sebanyak 1,179 kes baharu jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dalam tempoh seminggu sehingga Sabtu lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, jumlah terbabit dicatatkan sepanjang tempoh Minggu Epidemiologi (ME) ke-21 iaitu bagi tempoh antara 22 hingga 28 Mei lalu yang menjadikan kumulatif sebanyak 4,905 kes bagi tahun ini.

Katanya, terdapat sedikit penurunan kes berbanding pada ME ke-20 yang mencatatkan sebanyak 1,233 kes.

"Kota Bharu merekodkan kes paling tinggi iaitu sebanyak 429 kes, diikuti Gua Musang 130 kes, Pasir Mas (108 kes), Tumpat (97 kes), Machang (87 kes), Kuala Krai (86 kes), Pasir Puteh (82 kes), Tanah Merah (75 kes), Bachok (65 kes) dan Jeli (20 kes).

"Sebahagian besar wabak yang dilaporkan adalah membabitkan taska dan pusat jagaan kanak-kanak," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Dr Zaini berkata, daripada jumlah kes HFMD yang dilaporkan tahun ini, majoriti kes adalah dalam kalangan kanak-kanak berumur satu hingga empat tahun iaitu sebanyak 69.4 peratus.

Beliau berkata, secara keseluruhan 91.4 peratus daripada kes yang dilaporkan adalah berumur enam tahun dan ke bawah, diikuti 7.5 peratus bagi kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun.

"Remaja yang berusia 13 hingga 17 tahun juga turut dijangkiti HFMD iaitu sebanyak 0.5 peratus dan golongan berusia 18 tahun ke atas pula sebanyak 0.7 peratus.

"Semua kes yang dilaporkan menunjukkan gejala ringan dan diberikan rawatan sebagai pesakit luar serta tiada kes yang mengalami komplikasi teruk atau memerlukan rawatan intensif.

"Justeru, kita menasihati orang ramai terutamanya yang mempunyai anak-anak kecil supaya mengambil langkah berjaga-jaga iaitu sentiasa menjaga kebersihan bagi membendung penularan kes HFMD di negeri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2022 @ 10:34 AM