GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan sejumlah 71,471 kes penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD), peningkatan 28 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, peningkatan secara mendadak itu dilaporkan sejak Minggu Epid (ME) 20/2022.

"Sehingga 30 Mei lalu ( ME 22/2022 ) sebanyak 71,471 kes HFMD dilaporkan di mana ia meningkat sebanyak 28 kali ganda bagi tempoh yang sama bagi tahun 2021 iaitu 2,485 kes.

"Sementara itu, pada tempoh sama 2019 ia menunjukkan peningkatan sebanyak 1.3 kali ganda iaitu dengan 30,489 kes," katanya dalam sidang media ketika menghadiri Sesi Townhall Meeting Penyakit HFMD Peringkat Negeri Selangor di Seksyen 13, di sini hari ini.

Ketika mengulas lanjut perkembangan kes HFMD, Dr Noor Azmi berkata, sebanyak 91 peratus kes dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah dan 7 peratus dalam kumpulan usia 7 hingga 12 tahun tahun ini.

"Daripada 1,573 wabak yang dilaporkan, 61 peratus berlaku di taska/tadika/tabika/prasekolah dan 35 peratus pula dilaporkan berlaku di rumah persendirian iaitu 548 wabak," katanya.

Dr Noor Azmi berkata, di seluruh negara, 691 premis penjagaan kanak-kanak ditutup mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) manakala 146 ditutup secara sukarela berikutan penularan HFMD.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2022 @ 6:24 PM