GAMBAR hiasan. FOTO Asyraf Hamzah
GAMBAR hiasan. FOTO Asyraf Hamzah
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) awam pada 29 Mei hingga 4 Jun (Minggu Epidemiologi 22/2022) meningkat sebanyak 11 peratus bagi setiap 100,000 penduduk di negara ini.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiada perubahan kepada jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk untuk semua kategori 1 hingga 5.

Selain itu, beliau memaklumkan peratus pengisian katil fasiliti Covid-19 turut menunjukkan penurunan berbanding minggu sebelumnya.

"Penggunaan katil bukan kritikal menurun sebanyak 8 peratus; penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) menurun sebanyak 14 peratus dan peratusan penggunaan katil PKRC tiada perubahan.

"Kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan mencatatkan penurunan sebanyak 17 peratus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, secara umumnya kes positif Covid-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara semakin menunjukkan pengurangan berbanding ME 21/2022.

"Bilangan kedatangan pesakit ke CAC menurun sebanyak 11.6 peratus, jumlah kes Covid-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah menurun sebanyak 17.8 peratus dan kes Covid-19 yang dirujuk CAC ke PKRC atau hospital meningkat sebanyak 2.5 peratus.

"Bagi tren kes aktif harian Covid-19 yang dipantau secara maya (CAC Maya), pada akhir ME 22/2022 ia menurun sebanyak 9.4 peratus berbanding pada akhir ME 21/2022 iaitu daripada 22,475 kes kepada 20,363 kes," katanya.

Bagi perbandingan antara ME 21/2022 dengan ME 22/2022, Dr Noor Hisham berkata, bilangan kes sembuh pada ME 22/2022 menurun sebanyak 13.4 peratus iaitu daripada 13,797 kes kepada 5,925 kes.

"Bilangan kes baharu pada ME 22/2022 menurun sebanyak 15.5 peratus (13,076 kes kepada 11,052 kes), bilangan kes tempatan menurun sebanyak 15.4 peratus (13,022 kes kepada 11,022 kes) dan bilangan kes import menurun sebanyak 45.5 peratus (55 kes kepada 30 kes).

"Kes kematian pada ME 22/2022 menunjukkan peningkatan kepada 36.8 peratus (19 kes kepada 26 kes) berbanding ME 21/2022; dan purata kes aktif setiap hari bagi ME 22/2022 adalah 23,290, iaitu terdapat penurunan sebanyak 8.2 peratus berbanding minggu sebelumnya," katanya.

Mengulas mengenai pesakit jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) dan kes Penyakit Seperti Influenza (ILI) membabitkan kes Covid-19, hasil survelan di lokasi sentinel seluruh negara mendapati kadar positif sampel ILI bagi Covid-19 menurun sebanyak 14.5 peratus iaitu 8.3 peratus pada ME 21/2022 kepada 7.1 peratus pada ME 22/2022.

"Kadar positif sampel SARI bagi Covid-19 pada ME 22/2022 masih kekal kepada 0.0 peratus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2022 @ 1:40 PM