GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Tiga lelaki warga asing berdepan hukuman mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada dua warga Yaman, Hussein Mohamed Ali, 30, dan Ahmed Mohamed Qasem, 23, yang juga penuntut kolej swasta serta penganggur, Reda Hassan Ameen Mohamed, 30, dari Sudan selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol.

Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati yang mana ia di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa mengedar dadah jenis kanabis anggaran berat 205 gram di sebuah unit kondominium di Jalan Persiaran Surian, di sini, jam 8.30 malam pada 22 Mei lalu.

Berikutan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39b(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39b(2) dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi kesalahan itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan jika tidak dihukum dengan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Siti Zubaidah Mahat.

Tertuduh Hussein dan Ahmed Mohamed diwakili peguam Mohd Ruzaini Zulkifli, manakala Reda Hassan diwakili peguam Shahrul Amali Shafie.

Mahkamah menetapkan 10 Ogos nanti untuk sebutan semula kes dan laporan kimia.

Pada 23 Mei lalu, media melaporkan polis menahan lima lelaki warga asing kerana disyaki terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah dalam serbuan di sebuah kondominium di Sri Hartamas, Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor dilaporkan berkata, serbuan pertama dijalankan jam 6.15 petang di kawasan tempat letak kereta kondominium terbabit.

Katanya, serbuan kedua pula dilakukan di sebuah kondominium sekitar Petaling Jaya jam 8.30 malam yang membawa kepada penahanan tiga lelaki warga asing.

Dalam serbuan itu, pihak polis menemui 10 ketulan daun kering ganja dan satu bungkus ceraian daun yang sama seberat 205 gram.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2022 @ 3:29 PM