Nor Azura Abdul Jalil

Kuala Lumpur: Pelakon drama, Aidil Aziz dan dua rakannya dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan mengedar 465 gram dadah disyaki ganja, dua minggu lalu. 

Aidil atau nama sebenarnya Mohd Aidil Abdul Aziz, 28; pekerja sendiri, Omar Sayeed Ghulam Mohammad, 36; dan jurutera teknologi maklumat warga Filipina, R Guevara Cortez, 33, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Siti Radziah Kamarudin. 

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh. 

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa mengedar dadah disyaki ganja anggaran berat 465.61 gram di alamat No 1, Jalan Ampang Ulu, dekat sini pada jam 12.40 tengah hari, 24 September lalu. 

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Sesyen 39B (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aftal Mariz Mohamed manakala peguam Muhammad Nor Izzat Nordin mewakili Aidil dan G Jaya Prem mewakili Omar sementara Guevara tidak diwakili peguam. 

Mahkamah menetapkan 7 Disember ini untuk sebutan semula kes.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2016 @ 1:19 PM