Omar Ahmad


Pasir Gudang: Harga tiket kapal terbang yang mahal menyebabkan sebahagian besar masyarakat Dayak dari Sarawak yang tinggal di negeri ini berbelah bahagi untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Gawai Rabu ini.

Peniaga, Josephina Jimbai, 50, berkata harga tiket penerbangan terus sehala dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai ke Sibu untuk seorang dewasa ialah RM900.

Katanya, harga tiket kapal terbang sedikit murah sekitar RM600 seorang untuk sehala jika dari LTAS-Kuala Lumpur-Sibu.

"Harga tiket memang mahal RM900. Saya terpaksa balik kerana sudah dua tahun Hari Gawai tidak balik kampung kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Tiga anak bersama suami sudah sampai di Kampung Song, Kapit. Saya dan anak bongsu berusia 17 tahun akan pulang esok. Semua harga tiket penerbangan sehala kami sekeluarga berjumlah RM5,400.

"Biasanya kalau hari biasa harga tiket penerbangan sekitar RM200 hingga RM300 sehala. Tetapi apabila musim perayaan harga tiket memang mahal macam sekarang ini.

"Saya harap pihak berkuasa berkaitan boleh melihat perkara ini kerana ramai juga masyarakat Sarawak yang mahu pulang menyambut Hari Gawai tetapi membatalkan hasrat mereka kerana tiket mahal," katanya ketika ditemui di Pasar Borneo di sini, hari ini.

Sementara itu, peniaga Mellin Richard, 43, berkata kali terakhir dia pulang ke kampung halaman di Serian, Sarawak pada 2019.

Katanya, selain harga tiket penerbangan yang mahal, tempoh masa cuti yang singkat juga menjadi kekangan.

"Belum ada rezeki hendak balik kampung, lagi pun anak-anak sekolah tidak ada cuti.

"Anak saya tiga orang umur 11 hingga 26 tahun, balik kampung lima orang dengan harga tiket yang mahal memang saya tidak mampu.

"Saya selalu balik kampung waktu cuti sekolah bulan Disember kerana ada musim durian, masa itu juga anak-anak sekolah cuti memudahkan saya pulang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2022 @ 2:26 PM