Wahidah (dua dari kanan) bersama rakan yang juga tidak pulang beraya.
Wahidah (dua dari kanan) bersama rakan yang juga tidak pulang beraya.
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Harga tiket penerbangan mahal dan kurang bajet. Itu antara alasan utama penuntut institut pengajian tinggi (IPT) dari Sabah dan Sarawak di semenanjung tidak pulang beraya.

Pelajar Universiti Islam Selangor (UIS) Wahidah Madcharni, 22, yang berasal dari Kunak, Sabah berkata, harga tiket bagi perjalanan sehala ke Tawau mencecah RM600.

"Saya ambil keputusan tidak balik raya sebab pertamanya kerana tiket mahal. Jadi, saya tidak mahu bazirkan duit kedua ibu bapa untuk pulang beraya.

"Biarpun mendapat bantuan subsidi dari kerajaan tetapi masih perlu mengeluarkan duit sendiri untuk penerbangan balik.

"Pada masa sama, masalah bajet juga. Lagi pula, kalau nak beli tiket kena gunakan duit sendiri dahulu.

Qurratun (tengah) beraya di rumah rakannya di Klang, Selangor.
Qurratun (tengah) beraya di rumah rakannya di Klang, Selangor.

"Jadi, duit poket yang ada boleh simpan dan mak ayah pun boleh gunakan bajet mereka untuk perbelanjaan raya keluarga di sana," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya yang juga pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam dengan Multimedia, sambutan 1 Syawal kali ini diraikan dalam suasana yang berbeza tanpa keluarga tercinta.

"Ini kali pertama saya beraya di perantauan dan memang sedih juga. Sebab, kebiasaannya setiap kali raya akan berkumpul bersama keluarga.

"Jadi, pagi raya saya buat panggilan video dengan keluarga bagi mengubat kerinduan dan bermaaf-maafan.

"Cumanya, saya di sini tak keseorangan sebab ada ramai juga kawan yang tak balik raya.

"Raya pertama sempat juga ziarah rumah rakan. Rasa seronok juga sebab dapat rasa macam mana beraya di tempat orang walaupun jauh dari keluarga," katanya.

Abdurrahim menyambut hari raya di rumah saudara di Bangi, Selangor.
Abdurrahim menyambut hari raya di rumah saudara di Bangi, Selangor.

Bagi Nurul Qurratu Ain Faizal, 22, yang berasal dari Sibu, Sarawak, tahun ini kali pertama dia beraya di kampus bersama rakan lain.

"Saya tak balik raya sebab fikir alang-alang bulan depan dah nak cuti semester. Biarpun harga tiket sehala dalam RM300, tapi saya fikir biarlah mak ayah gunakan duit itu untuk keperluan adik-beradik lain.

"Selain mengalah untuk tak balik raya, bagi saya boleh jimat bajet tu.

"Ini pertama kali saya beraya tanpa keluarga. Kebetulan raya tahun lepas memang jatuh pada cuti semester.

"Seminggu sebelum raya macam okay saja tetapi sehari sebelum raya sudah mula sedih. Apabila masuk raya kedua, semua dah okay.

"Dapat juga beraya di rumah kawan-kawan," katanya yang menuntut di Universiti Islam Selangor (UIS).

Sementara itu, Abdurrahim Mohd Zulkifli, 22, yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah berkata, subsidi yang diberikan itu digunakan untuk keperluan pembelajaran.

Menurutnya yang juga pelajar di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Johor, dia menyambut hari raya bersama saudara di Bangi, Selangor.

"Kos tiket balik Sabah memang agak tinggi sehingga mencecah RM600 sehala. Jadi, mak ayah cakap tak perlu balik dan boleh beraya dengan keluarga di sini.

"Duit subsidi tiket yang diberikan itu boleh jimat dan simpan untuk bayar apa yang patut di universiti.

"Lagi pun, nanti kena beli tiket balik juga. Sama saja. Lebih baik kita berjimat," katanya.

Menurutnya, pengalaman beraya tanpa keluarga jauh berbeza terutama tidak dapat merasai suasana kampung.

"Beraya dengan keluarga di sini tak sama dengan keluarga sendiri. Kalau di Sabah, suasana kampung lebih terasa dan semua keluarga dan sanak saudara dapat berkumpul sama.

"Bukan saja saya seorang tetapi ramai lagi kawan yang berasal dari Sabah tak balik dan mereka memilih untuk tinggal di kampus saja. Ada juga yang balik, ikut kemampuan masing-masing, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2024 @ 2:42 PM