Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar
BERNAMA

Kuching: Syarikat penerbangan perlu mencari jalan tengah bagi menyelesaikan isu kenaikan harga tiket ke Sabah dan Sarawak terutamanya menjelang cuti akhir tahun, musim perayaan serta Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan sememangnya memahami kekangan perniagaan dihadapi syarikat penerbangan disebabkan Covid-19 yang menjejaskan operasi serta pendapatan mereka.

Beliau berkata, kerajaan juga tidak akan campur tangan dalam urusan syarikat penerbangan dengan menetapkan harga siling tertentu.

"Namun adalah penting untuk kita tidak bebankan rakyat yang turut terkesan dari segi pendapatan akibat pandemik sama. Rakyat Sarawak pula perlu pulang untuk tunaikan tanggungjawab mereka dalam PRN nanti.

"Harga tambang yang mahal adalah tidak adil kepada mereka kerana tarikh PRN baru sahaja diberitahu dan tiket perlu dibeli dalam masa suntuk," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semakan Bernama di beberapa laman sesawang syarikat penerbangan yang mempunyai penerbangan laluan Kuala Lumpur (KUL) -Sarawak semalam menunjukkan, harga terendah bagi penerbangan sehala untuk laluan KUL-Kuching adalah RM1,299, KUL-Sibu (RM888) dan KUL-Miri (RM665).

AirAsia dalam kenyataan hari ini memaklumkan telah menerima kelulusan rasmi daripada Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN) hari ini untuk tambahan 42 penerbangan mingguan dari Semenanjung dan Sabah ke Sarawak bagi tempoh terhad dari 11 Disember 2021 hingga 5 Januari 2022.

Menurut AirAsia, ini secara langsung telah menurunkan harga tiket Kuala Lumpur-Kuching dari sekitar RM1,000 sebelumnya kepada kurang RM200 sehala dan ia sudah pun hampir habis terjual sebaik jualan dibuka.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan bahawa tarikh penamaan calon bagi PRN Sarawak ditetapkan pada 6 Disember, pengundian awal pada 14 Dis dan pengundian pada 18 Disember.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 7:12 PM