Gambar hiasan
Gambar hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Inisiatif kerajaan menawarkan harga maksimum bagi tiket penerbangan sempena Pesta Kaamatan dan Hari Gawai, memberi kelegaan kepada mereka yang mahu pulang ke Sabah dan Sarawak sempena perayaan tersebut.

Manakan tidak, sudah menjadi kelaziman setiap kali musim perayaan, harga tiket penerbangan melambung tinggi sehingga ramai yang membatalkan niat pulang ke kampung halaman untuk bersama keluarga.

Bagi seorang pekerja swasta Amirul Mukminin, 26, pembelaan dari aspek harga jualan tiket penerbangan memang diperlukan, memandangkan ia satu-satunya mod pengangkutan untuk pulang ke kampung halaman.

"Tiket paling mahal yang pernah saya beli adalah pada harga RM800 untuk penerbangan sehala dari Semenanjung ke Sabah. Jadi, saya rasakan ini (pengumuman kerajaan) sesuatu yang amat baik, khususnya kepada pelajar (universiti) untuk mendapatkan tiket pada harga rendah.

"Bagaimanapun, saya harap kerajaan dapat memantau penjualan tiket," katanya kepada Bernama.

Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke memaklumkan sebanyak 17,708 tiket penerbangan sehala dari Semenanjung ke Sabah atau Sarawak dijual pada harga maksimum RM300 sempena perayaan itu, untuk tempoh perjalanan pada 27, 28 dan 29 Mei ke Sabah, manakala 29, 30 dan 31 Mei ke Sarawak.

Berkongsi nada sama, seorang mahasiswa Universiti Malaysia Sabah Grace Edwin, 22, teruja meraikan sambutan Pesta Kaamatan kali ini, berikutan ahli keluarganya yang menetap di Semenanjung bakal pulang ke kampung halaman di Lahad Datu, Sabah, 28 Mei ini.

"Saya sangat menantikan ketibaan kakak saya yang bekerja di Kuala Lumpur, sebelum ini sudah dua tahun kakak tidak pulang (untuk Pesta Kaamatan) disebabkan Covid-19 dan harga tiket penerbangan yang terlalu tinggi. Maka, inisiatif kerajaan ini sangat membantu rakyat Sabah, termasuk kami sekeluarga," katanya.

Dalam pada itu, bagi anak jati Sarawak Derrick Simoon, 36, berkata pendekatan yang diambil kerajaan memberi penjimatan menyeluruh, khususnya bagi mereka yang mempunyai isi rumah yang besar.

"Bayangkan sekiranya satu isi rumah itu mempunyai empat orang dan tiket penerbangan sehala itu pula berharga antara RM900 hingga RM1000, tiket itu sahaja sudah menelan kos perbelanjaan yang sangat tinggi jika dibandingkan dengan sekarang.

"Saya menyokong usaha kerajaan ini. Tetapi saya berharap kerajaan mampu mencari solusi yang bersifat 'menyeluruh' agar isu berhubung kenaikan harga tiket penerbangan ini, dapat diatasi secara tuntas. Bukan hanya pada waktu 'puncak' dan musim perayaan sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2023 @ 9:11 PM