Hazira Ahmad Zaidi

Kuala Krai: Polis Kelantan menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis syabu menggunakan bungkusan teh Cina dengan nilai rampasan RM9.5 juta selepas menahan suami isteri di hadapan Eco Park Batu Jong di sini, semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kejayaan itu susulan pemeriksaan ke atas sebuah kereta Perodua Alza yang mencurigakan dilakukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) kira-kira jam 8.30 pagi.

Katanya, kereta berkenaan dinaiki pasangan suami isteri berusia 26 dan 28 tahun bersama dua anak mereka berusia lapan bulan dan empat tahun.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di belakang pemandu dan penumpang menemukan 11 guni putih yang setiap satu mengandungi 24 bungkusan berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.

"Jumlah keseluruhan rampasan dadah adalah seberat 264 kilogram dan semuanya dibungkus dalam bungkusan teh Cina dipercayai untuk pasaran di sekitar Lembah Klang dan ia boleh menampung seramai 2.6 juta penagih.

"Turut dirampas wang tunai RM8,899 selain mata wang Thailand bernilai 200 bath," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai, di sini, hari ini.

Muhamad Zaki Harun (dua kiri) bersama pegawainya menunjuk rampasan pelbagai dadah jenis syabu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Muhamad Zaki Harun (dua kiri) bersama pegawainya menunjuk rampasan pelbagai dadah jenis syabu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata, susulan pasangan suami isteri terbabit ditahan manakala dua anak mereka diserahkan kepada saudara terdekat.

"Hasil siasatan awal mendapati pasangan suami isteri itu mengaku sebagai 'transporter' dan kemungkinan sudah enam kali melakukan kegiatan berkenaan dan pada masa sama, pihak kami juga sudah mengenal pasti sindiket yang terbabit dan siasatan akan diteruskan.

"Mereka mendakwa menerima bayaran sebanyak RM5,000 bagi satu perjalanan dan modus operandi yang digunakan adalah dengan menyewa kenderaan untuk membawa dadah," katanya.

Beliau berkata, hasil saringan air kencing mendapati kedua-dua pasangan suami isteri itu adalah negatif selain mereka juga tidak mempunyai rekod lampau.

"Bagi membantu siasatan mereka direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 9 Disember dan kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki berkata, pihaknya turut menahan lima lelaki berusia 22 hingga 34 tahun di tepi sebuah rumah di Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Chuchoh Puteri, Kuala Krai pada 30 November lalu pada jam 1 pagi dan merampas 877 biji pil yaba yang bernilai RM8,770.

"Dalam kes yang berlainan pada 29 November lalu, pihak kami berjaya menahan seorang lelaki berusia 33 tahun di sebuah bangsal di dalam kebun getah Kampung Peria Lama, Kuala Krai kira-kira jam 5 petang bersama 594 biji pil yaba.

"Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 29 November hingga 6 Disember ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2022 @ 3:44 PM