Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Kerajaan disaran untuk mengaktifkan semula majlis khas bagi menangani masalah jaminan makanan yang pernah ditubuhkan sebelum ini bagi menangani krisis makanan dihadapi.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, menerusi pengaktifan semula majlis berkenaan, kerajaan boleh meningkatkan hasil pengeluaran dalam negara.

Beliau berkata, krisis makanan yang dihadapi kini adalah isu global yang turut memberi tempias kepada Malaysia.

"Ini adalah masalah global dan Malaysia tidak terkecuali berhadapan dengan masalah bekalan bahan makanan yang agak terjejas selepas pandemik, sektor pengeluaran makanan seperti bahan makanan asas semakin berkurangan.

"Berikutan itu, kita cadangkan kepada kerajaan untuk mengaktifkan semula majlis yang sudah ada sebelum ini, kerana ia dapat meningkatkan hasil pengeluaran dalam negara, seperti bahan makanan kita. Ada (bahan makanan) yang sudah dikeluarkan namun ia belum sampai ke tahap sara diri.

"Disebabkan belum sampai ke tahap itu, kita masih mengimport dan terpaksa membayar dengan harga yang lebih tinggi, seterusnya pengguna terpaksa menanggung beban kerana harga barang makanan yang tinggi," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat MPN di Kementerian Kewangan hari ini.

Muhyiddin berkata, Malaysia berupaya untuk mengeluarkan bahan makanan sendiri namun sektor berkenaan belum diteroka secara meluas.

"Antaranya berkaitan penggunaan teknologi serta bekalan tenaga kerja, ini semua perkara penting dan walaupun ketika endemik pun kita perlu ambil perhatian segera," katanya.

Muhyiddin berkata, pengaktifan semula majlis itu bukannya satu jalan penyelesaian, namun ia boleh menjadi satu daripada langkah menangani masalah agromakanan yang sedang di hadapi di negara ini

"Banyak sebenarnya isu berkaitan pembangunan sektor agromakanan yang boleh diberi tumpuan, sekali gus mendorong pelabur untuk mempertingkatkan sektor pertanian di negara ini dan membantu kita menangani masalah jaminan makanan," katanya.

Pada 8 September 2020, Muhyiddin yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara yang bersetuju memperakukan cadangan Kerangka Sekuriti Makanan Negara seperti disarankan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO).

Di bawah kerangka berkenaan, empat kluster diwujudkan di bawah tiga kementerian dan satu agensi yang berfungsi mengetengahkan isu dan cadangan penyelesaian berhubung rantaian sistem makanan serta pelaksanaan strategi yang dikenal pasti.

Kluster itu ialah Kluster Ketersediaan di bawah Sekretariat Majlis Penasihat Pertanian Negara (MPPN), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan Kluster Kebolehcapaian di bawah Sekretariat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Dua lagi kluster ialah Kluster Keselamatan Makanan dan Pemakanan di bawah Sekretariat Majlis Keselamatan Makanan dan Pemakanan Kebangsaan (MKMPK), Kementerian Kesihatan dan Kluster Kestabilan dan Kemampanan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan Majlis Keselamatan Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 2:35 PM