MOHAMMAD Yasir menggunakan digital Internet Of Thing (IoT) di ladang cilinya menjelaskan antara kekangan orang muda adalah modal   permulaan.
MOHAMMAD Yasir menggunakan digital Internet Of Thing (IoT) di ladang cilinya menjelaskan antara kekangan orang muda adalah modal permulaan.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Penggunaan tanah secara optimum bagi aktiviti pertanian perlu dipertingkatkan untuk menampung makanan rakyat.

Tanah yang digunakan dengan maksimum untuk pertanian juga menambah baik kadar sara diri serta meningkatkan keterjaminan makanan khususnya bagi menampung keperluan apabila populasi penduduk negara dijangka terus meningkat.

Setiausaha Kluster Pertanian dan Sekuriti Makanan, Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Dr Anjas Asmara Samsudin berkata, menurut data yang dikeluarkan Jabatan Statistik pada 2020, unjuran jumlah penduduk dijangka bertambah kepada 36.4 juta pada 2030 dan 40.7 juta pada 2040.

Katanya, peningkatan itu memberi tekanan kepada sektor pengeluaran makanan dalam menawarkan keperluan harian makanan kepada penduduk negara ini.

"Jika keperluan ini tidak dapat dipenuhi oleh pengeluaran makanan dalam negara, kita perlu mengimport makanan bagi memenuhi permintaan tempatan dan ini akan merendahkan kadar sara diri pengeluaran makanan.

"Kajian Perancangan Guna Tanah Kawasan Sumber Makanan Negara (PeGUMN) yang dikeluarkan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) mendapati pada masa ini Semenanjung Malaysia dan Labuan mempunyai tanah pertanian seluas 5.36 juta hektar atau 40 peratus," katanya.

Namun katanya, menurut data itu sebahagian besar tanah itu digunakan bagi tanaman komoditi seperti sawit dan getah. Keluasan tanah pengeluaran makanan seperti tanaman makanan, penternakan dan perikanan adalah seluas 871,000 hektar atau 16 peratus.

Beliau berkata, data juga menunjukkan kawasan tanaman padi semasa adalah seluas 379,000 hektar atau 7.1 peratus dari keluasan Semenanjung Malaysia dan Labuan.

"Bagi memenuhi unjuran kadar sara diri ditetapkan dalam Dasar Agromakanan Negara 2.0 pada 2030, negara memerlukan tanah pertanian bagi aktiviti pengeluaran sumber makanan seluas hampir 1.3 juta hektar.

"Namun pelbagai cabaran terpaksa dihadapi sebelum dapat mencapai keluasan tersebut. Kajian ini juga mendapati sebanyak 62 peratus dari kawasan pengeluaran makanan sedia ada terdedah kepada risiko bencana selain tekanan pembangunan yang menyebabkan penukaran guna tanah di kawasan pengeluaran makanan.

"Sebagai contoh, aktiviti tebus guna sawah padi dan penutupan kandang ternakan kepada kawasan perindustrian atau perumahan," katanya.

Beliau berkata, dalam usaha untuk memperbaiki bekalan makanan dan seterusnya sekuriti makanan negara, beberapa pendekatan boleh dipertimbangkan antaranya pelaksanaan dasar guna tanah melalui penyisihan kawasan tanah pertanian khusus untuk penghasilan makanan dan sumber pemakanan lain.

Untuk itu, katanya, kerajaan persekutuan disaran menyalurkan insentif kepada kerajaan negeri kerana mengekal dan memulihara kawasan sumber makanan negara demi memastikan kemampanan pemeliharaan dan pengekalan kawasan pengeluaran makanan terjamin.

"Cukai tanah bagi aktiviti pertanian yang rendah menyebabkan kerajaan negeri tiada pilihan untuk menebus guna tanah pertanian kepada perindustrian sebagai sumber pendapatan negeri melalui cukai tanah yang dikenakan.

"Pembukaan kawasan hutan bagi aktiviti pertanian perlu memberi fokus kepada penghasilan tanaman sayuran bagi kegunaan tempatan dan bukan produk untuk pasaran eksport seperti durian.

"Penglibatan Sabah dan Sarawak yang mempunyai kapasiti tanah yang luas turut dilihat berpotensi dalam membantu pengeluaran sumber makanan supaya import bahan makanan negara dapat dikurangkan," katanya.

Julai lalu, pada majlis peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasakan Rakyat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan memberi tumpuan kepada usaha untuk menambah baik Tahap Sara Diri (SSL) serta meningkatkan keterjaminan makanan.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, ia termasuk menambah keluasan tanaman tetapi juga mengoptimum penggunaan tanah perladangan sedia ada.

Mengulas lanjut tumpuan kerajaan itu, Anjas Asmara yang juga pensyarah Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, sektor pengeluaran makanan perlu memulakan penggunaan pelbagai teknologi moden seperti pertanian pintar, pertanian tepat selain mekanisasi dan automasi.

"Inovasi dan pelaburan dalam teknologi sistem pertanian akan memainkan peranan penting dalam memupuk produktiviti.

"Sebagai contoh, sistem tanaman secara hidrofonik dan fertigasi dapat mengurangkan penggunaan air sebanyak 90 peratus berbanding pertanian secara konvensional.

"Kini, konsep pertanian baharu seperti plant factory (kilang makanan) sudah mula mendapat banyak penglibatan dari sektor swasta," katanya.

Katanya, melalui sistem itu, penggunaan ruang tanah dapat dioptimumkan dengan berkesan dan mampan.

"Pemeliharaan dan pemuliharaan tanah pertanian bagi penghasilan sumber makanan negara sangatlah penting agar kelangsungan serta keterjaminan sumber makanan negara berkekalan selama yang mungkin," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Datuk Zamri Yaakob berkata, di Malaysia penggunaan tanah untuk sektor pertanian masih lagi tidak optimum.

"Contohnya masih banyak tanah terbiar di kebanyakan negeri belum dibangunkan. Mungkin ada masalah juga nak bangunkan tanah terbiar, mungkin pemilikan penama sudah berlapis-lapis, tanah pusaka dan sebagainya yang menjadikannya bermasalah.

"Kerajaan kena ada dasar untuk membangunkan tanah terbiar sebagai keutamaan. Penggunaan tanah perlu dioptimumkan supaya ada hasil.

"Tanah terbiar itu bukan tanah kerajaan, ia tanah kepunyaan rakyat tetapi tidak dibangunkan," katanya.

Menurutnya, masalah tanah tidak diusahakan untuk pertanian juga ada berkaitan dengan sikap ramai orang muda tidak mahu terbabit dalam sektor pertanian.

Beliau berkata, pihaknya mempunyai hampir satu juta ahli peladang dan daripada jumlah itu tidak sampai 200,000 orang muda terbabit, yang lain kebanyakannya berusia 50 tahun dan ke atas.

"Saya tengok pembabitan orang muda dalam pertanian belum memuaskan, lambat lagi nak kejar sasaran supaya 50 peratus daripada golongan itu.

"Orang muda yang nak ambil alih semakin berkurangan. Isu ini juga kerajaan perlu tangani untuk menarik minat orang muda kepada sektor pertanian," katanya.

Pengusaha cili fertigasi, Mohammad Yasir Jaafar, 43, turut berkata, tanah sebenarnya masih banyak bagi memastikan keterjaminan makanan.

Beliau yang menggunakan digital Internet Of Thing (IoT) di ladang cilinya menjelaskan antara kekangan orang muda adalah modal untuk permulaan.

"Ada juga orang muda yang berminat menceburi sektor pertanian tetapi kekangan modal. Ada juga yang mempunyai tanah seperti tanah keluarga tetapi anak muda itu tak mahu mengusahakan. Ini isunya yang perlu diberi perhatian.

"Namun ramai dalam kalangan kita tak nampak pertanian boleh buat duit, padahal memang jelas boleh buat duit," katanya yang berhenti kerja swasta sejak 2015 untuk menumpukan perhatian kepada penanaman fertigasi diusahakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2023 @ 7:02 AM