GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izad Thaqif Hassan


Alor Setar: Siasatan lanjut terhadap laporan dibuat seorang wanita yang mendakwa barang kemas dan wang tunai dalam tabung anaknya dicuri polis dalam serbuan di rumahnya, Sabtu lalu masih dijalankan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk G Suresh Kumar berkata, setakat ini semua anggota termasuk seorang pegawai yang dikatakan terbabit dalam kejadian seperti dilaporkan mangsa ditempatkan sementara di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

"Semua mereka yang bertugas di sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) itu dipindahkan ke IPK bagi memudahkan siasatan dilakukan.

"Ini (penempatan sementara) untuk mengelak daripada sebarang andaian atau siasatan berat sebelah serta berpihak kepada mana-mana individu yang terbabit dalam kejadian seperti dilaporkan seorang wanita sebelum ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian pada 1.20 pagi itu, sepasukan lima anggota polis bahagian narkotik sebuah IPD menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat yang dihuni suami isteri dan dua anak mereka.

Dalam serbuan itu, polis menahan suami wanita terbabit selepas mereka menemui dadah dalam kotak rokok lelaki itu.

Polis kemudian menggeledah tiga bilik di tingkat atas rumah terbabit namun tiada bahan terlarang ditemui sebelum mereka membawa pulang lelaki berkenaan ke IPD untuk siasatan lanjut.

Bagaimanapun, isterinya yang melakukan pemeriksaan pada 5 pagi hari sama dalam bilik menjahit mendapati seutas rantai serta gelang bernilai lebih RM8,000 yang disimpan dalam kotak dan wang dalam tabung anaknya dianggarkan berjumlah RM700 hilang.

Wanita terbabit yang tidak berpuas hati kemudian pergi ke IPD untuk bertanyakan mengenai kehilangan semua barang terbabit namun gagal bertemu sesiapa di bilik bahagian narkotik.

Dia bagaimanapun dapat menghubungi seorang pegawai keesokannya sebelum dinasihatkan membuat laporan polis.

Difahamkan, setakat ini siasatan mendapati wanita terbabit mendakwa mempunyai resit sebagai bukti pembelian dua barang kemas terbabit.

Pegawai serbuan berpangkat Inspektor yang terbabit dalam operasi itu pula dikatakan masih belum disahkan jawatan dan dalam tempoh percubaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Berita berkaitan

Wanita dakwa polis curi barang kemas, wang tabung ketika serbu rumah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2022 @ 8:27 PM