Asisten Komisioner Mohamad Fakrudin Abdul Hamid bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada barang rampasan ketika sidang media mengenai kejayaan tangkapan kes pecah rumah dan curi di Ibu Pejabat Polis Daerah  (IPD) Petaling Jaya. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Asisten Komisioner Mohamad Fakrudin Abdul Hamid bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada barang rampasan ketika sidang media mengenai kejayaan tangkapan kes pecah rumah dan curi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Seorang lelaki tergamak memecah masuk kediaman sewa bapa saudaranya di daerah ini bersama rakannya dan melarikan wang tunai serta barang kemas lebih RM600,000 dalam kejadian pecah rumah pada 24 Ogos lalu.

Malah, lelaki berusia 19 tahun itu bersama rakannya menggunakan wang berkenaan untuk berjoli sakan dengan membeli kenderaan, barang kemas selain dijadikan sebagai wang hantaran untuk pertunangan oleh salah seorang suspek.

Bagaimanapun, perbuatan itu terbongkar selepas mereka ditahan dalam dua serbuan berasingan di Seremban, Negeri Sembilan dan Klang, Selangor pada 31 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 30-an selepas menyedari rumah sewanya dipecah masuk pada 24 Ogos lalu.

"Dalam kejadian itu, pengadu memaklumkan peti besi yang diletakkan di ruang dapur rumahnya dilarikan. Anggaran kerugian dilaporkan dalam kejadian itu adalah RM630,000 membabitkan RM430,000 wang tunai dan barangan kemas bernilai RM200,000.

"Wang berkenaan adalah hasil pelaburan mata wang asing oleh pengadu bersama isterinya sejak 2020 sehingga Januari lalu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, susulan itu, pihaknya menahan 11 lelaki berusia antara 19 hingga 23 tahun dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Seremban jam 3.30 petang, 31 Ogos lalu.

"Dalam serbuan itu, kami merampas dua motosikal jenis Yamaha dan Kawasaki, enam telefon pintar dan satu beg berjenama yang dipercayai dibeli menggunakan wang hasil curi.

"Siasatan lanjut dilakukan membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki berusia 20-an di sebuah rumah di Klang dan merampas telefon pintar, dua jam tangan berjenama, kamera, motosikal Kawasaki 150RR, selipar, kad pendaftaran motosikal serta wang tunai RM1,000," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut di rumah 11 suspek berkenaan terletak di sekitar Klang membawa kepada rampasan pelbagai barangan dipercayai dibeli menggunakan wang hasil curi selain wang tunai berjumlah RM55,950.

"Jumlah keseluruhan rampasan adalah RM271,209, manakala baki berjumlah RM158,791 adalah perbelanjaan suspek yang tidak dapat dirampas seperti pembelian aplikasi permainan dalam talian, pembayaran bil, bayaran upah pembaikan rumah dan lain-lain perbelanjaan tunai.

"Malah, ada wang tunai dipercayai turut dibelanjakan suspek mengunjungi pusat hiburan selain diberikan kepada ahli keluarga yang dibelanjakan," katanya.

Menurutnya, mangsa menyimpan wang serta barang kemas di banglo satu tingkat yang disewa RM5,000 sebulan kerana dia mendakwa tidak percaya untuk menyimpannya di bank.

"Bagaimanapun, 'rahsia' mangsa menyimpan wang tunai serta barang kemas di dalam rumah itu diketahui oleh anak saudaranya yang kemudian berkomplot bersama empat rakannya untuk memecah masuk kediaman berkenaan.

"Malah, salah seorang suspek juga didapati menggunakan wang hasil curi sebagai hantaran pertunangan (RM10,000) selain pembelian barang kemas bernilai RM10,000 sebagai barang hantaran yang dirampas daripada tunangnya," katanya.

Katanya, semua suspek direman selama tujuh hari bermula 1 Ogos lalu hingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan curi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2022 @ 5:35 PM