Nurul Hidayah Bahaudin


SEWA rumah untuk simpan pelbagai jenis dadah, itu taktik sindiket pengedaran dadah yang aktif di Lembah Klang sebelum diedar ke pasaran gelap.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Kamarulzaman Mamat berkata, hasil risikan dan maklumat diperoleh, pihaknya membuat empat serbuan kira-kira 5 petang, Rabu lalu.

"Dalam serbuan itu, kami menahan lapan individu warga tempatan termasuk dua wanita berusia antara 19 hingga 34 tahun.

"Kami turut merampas pelbagai jenis dadah iaitu 167,500 pil ekstasi seberat 67 kilogram, 36.3 kilogram syabu, 6.5 kilogram kokain dan enam gram ketamin yang bernilai RM8.7 juta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, Kuala Lumpur, hari ini.

Kamarulzaman berkata, modus operandi sindiket itu adalah menyimpan bekalan pelbagai jenis dadah diperoleh di dalam rumah sewa sebelum diedar untuk pasaran gelap.

"Kesemua tangkapan dalam serbuan terbabit dibuat di beberapa rumah sewa suspek. Pemeriksaan terhadap rumah terbabit mendapati dadah berkenaan diletakkan di dalam bilik.

"Berdasarkan jumlah dadah yang ditahan, bekalan itu boleh diambil oleh 400,000 penagih," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menyita enam kenderaan pelbagai jenis iaitu Toyota Vellfire, Toyota Camry, Toyota Vios dan Perodua Axia selain wang tunai hampir RM5,000 serta barang kemas yang dianggarkan bernilai RM656,000.

"Semakan mendapati semua suspek tiada rekod jenayah lampau dan hasil ujian air kencing dilakukan adalah negatif.

"Semua suspek direman selama tujuh bermula 11 hingga 18 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Katanya, pihak polis komited membanteras kegiatan pengedaran dadah di seluruh negara dengan menjalankan serbuan dan operasi berterusan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 April 2018 @ 12:29 PM
TIMBALAN Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Kamarulzamnan Mamat (tengah) pada sidang media Narkotik di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields. FOTO Rosdan Wahid
TIMBALAN Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Kamarulzamnan Mamat (tengah) pada sidang media Narkotik di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields. FOTO Rosdan Wahid