(Gambar kecil) Haslah.
(Gambar kecil) Haslah.
Amran Yahya

LELAKI berusia 24 tahun ditahan polis kelmarin kerana disyaki mencuri barang kemas bernilai RM3,000 milik ibu teman wanitanya di Kampung Dangi, Johol di Kuala Pilah, pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintendan Haslah Bachok berkata, mangsa yang pulang dari tempat kerja kira-kira jam 4.05 petang terkejut mendapati tabung wang syiling yang disimpan di dalam bilik tidurnya lesap.

Katanya, wanita berusia 53 tahun itu menyedari barang kemas miliknya turut hilang apabila tergerak hatinya untuk memeriksa tabung terbabit.

“Namun, dia terkejut apabila mendapati semua barang kemas iaitu dua bentuk cincin emas, sepasang subang emas dan seutas rantai emas berharga RM3,000 lesap,” katanya,

Menurutnya, keadaan rumah mangsa ketika itu berada dalam keadaan baik tanpa sebarang kesan dipecah masuk rumah.

“Bagaimanapun, hasil maklumat dari jiran memaklumkan ternampak kelibat teman lelaki anaknya datang ke rumah pada jam 8 pagi 1 Mac lalu menyebabkan dia mengesyaki perbuatan itu angkara lelaki terbabit.

“Bertindak atas maklumat itu, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah pada hari sama,” katanya.

Kata Haslah, hasil siasatan polis akhirnya berjaya menahan lelaki berusia 24 tahun kelmarin di sekitar Seremban dan suspek direman empat hari bagi membantu siasatan.

“Polis juga merampas sebentuk cincin emas bersama suspek untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Mac 2018 @ 5:39 PM