Siraj Mohd Zaini


TAKTIK sindiket memproses dadah yang menjadikan rumah teres dua tingkat dilengkapi pengawal keselamatan sebagai lokasi operasi terbongkar apabila sembilan suspek termasuk seorang wanita warga emas ditahan dalam serbuan di Setia Alam, Shah Alam, Khamis lalu.

Serbuan dijalankan kira-kira 12 tengah hari oleh sepasukan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, sindiket dipercayai menyewa rumah dengan sewa RM1,500 sejak enam bulan lalu dan menjadikan bilik di tingkat atas kediaman berkenaan sebagai makmal memproses dadah.

Menurutnya, antara barang yang dirampas termasuk 6.9 kilogram (kg) dadah dipercayai heroin, 0.75 kg heroin ‘base’, 1.25 kg dadah dipercayai ganja serta pelbagai lagi alat memproses dadah.

“Lapan suspek lelaki berusia 19 hingga 47 tahun dan seorang wanita warga emas berusia 65 tahun yang juga ibu kepada suspek ditahan untuk siasatan lanjut.

RAMPASAN dadah jenis heroin.
RAMPASAN dadah jenis heroin.

“Sebahagian suspek bekerja sebagai pengawal keselamatan dan ada juga diantara mereka yang tidak bekerja,” katanya dalam sidang media di IPD Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata, dadah yang diproses dipercayai untuk pasaran tempatan dan sindiket terbabit dipercayai memproses dadah sebanyak 30 hingga 35 kg sebulan.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM149,585.

“Selain itu, polis turut menyita enam kenderaan digunakan suspek, wang tunai RM3,700, pelbagai jam tangan berjenama, barang kemas dengan nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM183,300.

“Semua tangkapan direman sehingga 28 Februari ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 5:31 PM
NOOR Azam (tiga dari kiri) menunjukkan dadah jenis heroin pada sidang media  di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam. FOTO/INTAN NUR ELLIANA ZAKARIA
NOOR Azam (tiga dari kiri) menunjukkan dadah jenis heroin pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam. FOTO/INTAN NUR ELLIANA ZAKARIA