AMANI dan keluarganya yang bercuti di Teduhan Langat, Ulu Selangor
AMANI dan keluarganya yang bercuti di Teduhan Langat, Ulu Selangor
Anis Syuhada Mohd Rosli


Kuala Lumpur: Menyambut Aidilfitri di kampung halaman bersama sanak saudara dan sahabat handai sudah menjadi tradisi umat Islam di negara ini bagi meraikan Syawal.

Namun, berbeza bagi segelintir pihak yang mengambil peluang cuti panjang Aidilfitri untuk bercuti bersama keluarga sama ada di dalam atau luar negara.

Bagi Amani Karim, 36, dari Johor Bahru, dia memilih untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarganya di sebuah chalet di Teduhan Langat, Ulu Selangor.

"Suami mendapat cuti panjang, jadi kami mengambil kesempatan ini meluangkan masa dengan keluarga dengan melakukan aktiviti bersama.

"Kami bawa sekali ibu bapa mentua, adik ipar sekeluarga dan keluarga saya sendiri kerana sudah lama tidak meluangkan masa bersama mereka, dalam erti kata lain kami bercuti dan beraya pada masa sama," katanya ketika dihubungi, hari ini.

ALYA bergambar di dalam Masjid Besar Hagia Sophia.
ALYA bergambar di dalam Masjid Besar Hagia Sophia.

Sementara itu, Alya Shahrom Faiz, 23 yang berasal dari Kuala Lumpur memilih untuk bercuti di luar negara di musim perayaan ini.

"Oleh kerana cuti raya saya dan keluarga panjang, kami merancang untuk bercuti di Turki.

"Ibu seorang Pengurus Kandungan di Singapura, jadi inilah peluang terbesar kami untuk meluangkan masa bersama selepas beberapa bulan berjauhan.

"Pada hari raya ketiga kami melawat kawasan tumpuan ramai seperti di Istana Topkapi, Masjid Besar Hagia Sophia dan Menara Galata.

"Jika ada rezeki lebih lagi, Insya Allah saya dan keluarga bercadang bercuti di luar negara lagi pada Aidilfitri akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2022 @ 7:17 PM