AHMAD Maslan. FOTO Nur Aisyah Mazalan
AHMAD Maslan. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: UMNO menyifatkan Muafakat Nasional (MN) masih belum mati namun tidak subur.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia berikutan ahli gabungan MN iaitu PAS memilih untuk bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berbanding parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

"MN belum mati namun tidak subur kerana kejadian (pada PRN) Melaka dan Johor, apabila PAS memilih bersama dengan BERSATU walaupun UMNO sudah membuat tawaran.

"Untuk suburkan kembali (MN) pun kita tak buat keputusan lagi pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

"Ini kerana apa-apa keputusan besar perlu dibuat oleh MKT. Setakat ini, masih belum ada sebarang perbincangan, malah mesyuarat baru-baru ini tidak dibangkitkan mengenai perkara itu," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Pontian.

Semalam, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, penyatuan ummah menerusi MN yang digagaskan oleh PAS dan UMNO disifatkan sebagai formula terbaik.

Takiyuddin dilaporkan berkata, ini kerana penyatuan ummah itu bukan hanya terhad kepada parti-parti tertentu sahaja, sebaliknya ia boleh disertai oleh mana-mana parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau individu yang mempunyai matlamat sama iaitu ke arah penyatuan ummah seperti yang termaktub dalam piagam itu.

Oleh sebab itu, PAS dilaporkan masih lagi menyeru supaya penyatuan ummah ini membabitkan semua pihak terutamanya parti-parti Melayu Islam, parti bumiputera dan juga parti bukan Melayu yang tidak ekstrem sebagaimana yang disebut oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Dalam pada itu,Ahmad yang juga Ahlu Parlimen Pontian berkata, keputusan muktamad mengenai MN masih belum dibuat pucuk pimpiman setakat ini.

"Namun apabila sudah ada keputusan muktamad dibuat nanti, UMNO setiap negeri mestilah patuh terhadap ketetapan itu.

"Setakat ini, UMNO mengambil haluan seperti apa yang berlaku pada PRN Melaka dan Johor,apabila UMNO fan Barisan Nasional (BN)bergerak solo sehinggalah satu keputusan muktamad dicapai nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2022 @ 12:05 PM