TAKIYUDDIN Hassan. FOTO arkib NSTP
TAKIYUDDIN Hassan. FOTO arkib NSTP
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kenyataan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan, bahawa Pas 'ingin membunuh' Umno dalam politik negara dan pada masa yang sama menganggap DAP ikhlas terhadap Umno adalah sesuatu yang tidak masuk akal dan dibuat dalam keterpaksaan, kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata, hakikatnya rakaman sejarah politik negara ini menunjukkan Umno terus bertekad sejak sekian lama untuk menghapuskan Pas termasuk percubaan untuk mengharamkan pada suatu ketika dahulu.

Takiyuddin berkata, sebaliknya sebagai sebuah parti yang meletakkan Islam sebagai dasarnya, Pas sentiasa berazam dan bertindak mendekati Umno dalam usaha menyatukan umat Islam dan orang Melayu yang adalah kelompok majoriti rakyat negara ini.

"Usaha Penyatuan Ummah juga seterusnya digagaskan merentasi rakyat pelbagai kaum dan agama bagi mewujudkan suasana yang aman dan harmoni melalui saluran demokrasi dan berlandaskan lunas undang-undang.

"Sehubungan itu sebagai sebuah parti arus perdana, Pas akan terus bersikap terbuka serta bersedia mengadakan pertemuan, perbincangan dan perundingan dengan mana-mana pihak dengan memfokuskan kepada titik-titik persamaan dan merapatkan jurang perbezaan demi kebaikan negara dan rakyat jelata.

"Pas amat yakin hanya dengan perpaduan semua parti-parti politik yang terbentuk di atas keikhlasan dan niat murni sahaja akan dapat menjamin terbentuknya sebuah pemerintahan yang adil dan saksama kepada seluruh rakyat pelbagai kaum, agama dan budaya seterusnya akan diterima baik oleh semua," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, katanya, Pas juga sentiasa menjunjung tinggi amalan serta pendekatan yang matang dan sejahtera dalam politik negara.

"Selain itu Pas mendoakan supaya sikap melulu, provokatif, tidak berpijak pada kenyataan atas apa juga sebab dan tujuannya tidak akan menggugat serta merosakkan kesejahteraan dan hubungan baik yang sedia ada dalam masyarakat kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2023 @ 1:10 PM