Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
Hassan Omar


Melaka: Pas Melaka yakin Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mampu merealisasikan usaha mengelak pertembungan tiga penjuru antara Umno, Bersatu dan Pas.

Pesuruhjayanya Datuk Kamarudin Sidek berkata, sebelum ini Pas sentiasa mencuba mengelak perkara berkenaan berlaku kerana ia akan hanya merugikan anggota masyarakat Melayu dan Islam.

"Kami menyambut baik kenyataan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden Umno (Ismail Sabri) itu kerana kita memang ingin melihat penyatuan Melayu dan Islam itu bukan sekadar retorik.

"Jika semua pihak berusaha ke arah itu, insya-Allah umat Melayu dan Islam mampu menjadi kesatuan yang kukuh dan disegani di peringkat antarabangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, komitmen Ismail Sabri bakal menjadikan hasrat Pas ingin melihat satu lawan satu antara Barisan Nasional/Perikatan Nasional (BN/PN) menentang Pakatan Harapan (PH) sebagai suatu kenyataan.

Semalam, Ismail Sabri dilaporkan berkata, Umno dan BN akan berusaha mengelak pertembungan tiga penjuru antara parti dalam kerajaan, termasuk dengan Bersatu pada PRN Melaka.

Katanya, beliau sedang menjalankan rundingan dengan Pas dan Bersatu bagi memastikan pertembungan sesama sendiri pada pilihan raya mampu dielakkan serta bagi menentukan bentuk kerjasama pada PRN Melaka selaras mandat yang diberi Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.

Kamarudin berkata, setakat ini perbincangan pembahagian kerusi antara Pas dengan Bersatu Melaka sudah mencapai 90 peratus dan bakal dimuktamadkan beberapa hari lagi.

Bagaimanapun, beliau mengakui belum ada lagi perbincangan secara formal antara Pas dengan Umno dalam Muafakat Nasional (MN) bagi menghadapi PRN 20 November ini.

Sementara menunggu perbincangan secara formal dengan Umno, Pas sudah menyusun strategi dan gerak kerja bagi memastikan jentera parti itu bersedia menghadapi PRN.

Beliau berkata, Pas Melaka menunggu keputusan mesyuarat Majlis Syura PAS Pusat hari ini dan bakal mengatur langkah seterusnya berdasarkan arahan Pas Pusat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 4:59 PM