KEADAAN kenderaan yang terbabit kemalangan di Jalan Gua Musang-Kuala Krai pada 1 Mei lalu. FOTO arkib NSTP
KEADAAN kenderaan yang terbabit kemalangan di Jalan Gua Musang-Kuala Krai pada 1 Mei lalu. FOTO arkib NSTP
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kelantan mencatatkan 11 kematian akibat kemalangan jalan raya dalam tempoh lima hari Op Selamat dilancarkan.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun berkata, 11 kematian itu membabitkan 10 kemalangan yang dilaporkan di seluruh negeri itu.

Katanya, hari pertama Op Selamat dilancarkan, lima kematian direkodkan iaitu masing-masing dua di Bachok dan Jeli serta satu di Kota Bharu.

"Hari ketiga Op Selamat merekodkan tiga kematian iaitu dua di Gua Musang dan satu di Bachok.

"Hari keempat pula merekodkan tiga kematian masing-masing satu di Pasir Mas, Tanah Merah dan Gua Musang.

"Kebanyakan kes kemalangan disebabkan pemandu hilang kawalan dan gagal memotong," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, polis Kelantan memberi tumpuan di 16 lokasi yang kerap terbabit kemalangan pada Op Selamat sempena Aidilfitri bermula 30 April lalu.

Lokasi berkenaan turut membabitkan kawasan yang berlaku kemalangan maut terutamanya di laluan utama keluar masuk kenderaan ke negeri ini.

Antara laluan berkenaan adalah Kilometer (KM) 59-KM62 Jalan Gua Musang-Kuala Krai (Sungai Bayu); KM52-KM59 Jalan Gua Musang-Lojing; Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh (Kubang Kerian-Melor), Jalan Kota Bharu-Pengkalan Chepa (Jalan Tok Guru); Jalan Salor Baru-Pasir Mas; Jalan Binjai-Bachok; dan dua jalan di Machang, dua jalan di Pasir Mas serta satu jalan masing-masing di daerah Kuala Krai, Tumpat, Tanah Merah, Jeli, Bachok dan Pasir Puteh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2022 @ 10:10 AM