GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Sebanyak 39 kawasan 'blackspot' yang kerap berlaku kemalangan dikenal pasti di negeri ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, lokasi itu membabitkan tujuh kawasan di Gua Musang, enam di Kota Bharu, masing-masing empat di Bachok dan Kuala Krai.

Katanya, selain itu, lima di Tumpat, masing-masing tiga di Machang, Pasir Mas dan Jeli serta dua di Pasir Puteh dan Tanah Merah.

"Antara jalan yang kerap berlaku kemalangan di Gua Musang ialah Jalan Persiaran Raya Simpang Hospital, Jalan Gua Musang-Kuala Krai masing-masing di Kilometer (KM) 20-35, KM56-58 dan KM61-67.

"Selain itu, di KM11-14 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, KM48-56 Jalan Gua Musang-Lojing dan KM20-22 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, manakala di Kuala Krai termasuk di Jalan Kota Bharu-Gua Musang membabitkan KM57-58 dekat Kampung Keroh, KM63 di Batu Jong dan KM74-75 Kampung Pahi.

"Di Kota Bharu pula kawasan kerap kemalangan termasuk di KM20-22 di Jalan Kuala Krai berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ketereh, Jalan Salor Baru-Pasir Mas, Jalan Tok Guru (Jambatan Baung - selekoh sebelum kem tentera Pengkalan Chepa) dan Jalan Binjai-Bachok," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shuhaimi berkata, kawasan berkenaan kerap berlaku kemalangan terutama apabila pertambahan kenderaan termasuk pada musim perayaan.

"Justeru, saya berharap pengguna jalan raya termasuk perantau supaya berhati-hati dan bersabar jika berlaku kesesakan jalan raya. Mereka diminta sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan.

"Bagi pengguna yang masuk ke bandar Kota Bharu, mereka diharap sentiasa bertolenrasi kerana lokasi itu sering berlaku kesesakan pada musim perayaan atau cuti.

"Perantau diminta merancang perjalanan mereka termasuk rehat dan tidur mencukupi sebelum memulakan pemanduan dalam jarak yang panjang dan mengambil masa yang lama," katanya.

Katanya, ia untuk mengelakkan kejadian tidak diingini dan dapat pulang ke kampung halaman untuk meraikan Aidilfitri bersama keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2022 @ 4:05 PM