GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Sebanyak 808 kematian akibat Covid-19 di Kelantan direkodkan dalam tempoh lebih setahun.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin berkata, kematian itu direkodkan bermula Mac tahun lalu sehingga 30 September tahun ini.

Katanya, Kota Bharu mencatatkan kematian tertinggi iaitu 221 kes diikuti Pasir Mas 111 kes dan Pasir Putih 102 kes.

"Manakala, Tumpat (89 kes);Bachok (80); Gua Musang (58) Tanah Merah (56); Kuala Krai (37); Jeli (29) dan Machang merekodkan 25 kes.

"Setakat ini, untuk kes kematian, kerajaan negeri sudah membayar bantuan pengurusan jenazah sebanyak RM405,000 membabitkan 271 kematian.

"Jumlah yang belum dibayar sebanyak RM223,500 membabitkan 149 kematian. Secara keseluruhan, tuntutan yang dibuat untuk kes kematian Covid-19 adalah RM630,000," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Nazlan Mohamed Hasbullah (PAS-Limbongan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Belanjawan) di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd Nazlan bertanyakan jumlah kematian direkodkan di Kelantan akibat Covid-19 dan jumlah bantuan pengurusan jenazah yang sudah dibayar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 11:28 AM