MOHD Azizee.
MOHD Azizee.
Mohd Amin Jalil

Seremban: Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) menolak cadangan pihak tertentu supaya kerajaan mewujudkan sekolah aliran Inggeris.

Presidennya, Mohd Azizee Hasan, berkata, cadangan itu dilihat sebagai satu usaha mengembalikan diskriminasi pendidikan yang diwujudkan oleh penjajah Inggeris dahulu.

Katanya, pihaknya melihat langkah terbaik memperkasakan bahasa Inggeris dalam kalangan murid adalah dengan meningkatkan penyediaan tenaga pakar dan kaedah atau pedagogi serta prasarana.

"Kami (i-Guru) tidak menolak kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dunia dan mesti dikuasai murid-murid terutama untuk mereka belajar di dalam bidang sains dan teknologi.

"Namun kami menolak cadangan penubuhan sekolah aliran Inggeris kerana langkah itu bukan sahaja akan melebarkan jurang pendidikan sekolah bandar dan luar bandar bahkan diskriminasi ini akan menutup peluang kepada anak-anak dari keluarga berpendapatan rendah. Padahal pendidikan perlu diberikan secara adil dan saksama kepada semua murid di semua sekolah dan di setiap daerah," katanya tadi.

Beliau mengulas cadangan pihak tertentu supaya mewujudkan sekolah aliran Inggeris di negara ini.

Mohd Azizee berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu meningkatkan usaha memastikan penguasaan murid di dalam bahasa Inggeris melalui program Memartabatkan Bahasa Melayu dan Meningkatkan Bahasa Inggeris dengan penekanan kepada penyediaan tenaga pakar, pedagogi, prasarana dan kesediaan murid serta diberikan nafas baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2022 @ 2:53 PM