Mohd Azizee Hasan, Presiden i-Guru. Foto Mohd Amin Jalil.
Mohd Azizee Hasan, Presiden i-Guru. Foto Mohd Amin Jalil.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) berharap Bajet 2023 yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jumaat ini, dapat memberi tumpuan kepada usaha pemulihan, pembangunan dan penyelidikan (R&D) pendidikan.

Presidennya, Mohd Azizee Hasan, berkata antara perkara yang harus diberikan tumpuan termasuk pendigitalan pendidikan selari dengan perkembangan teknologi semasa.

"Bajet 2023 ini perlu memberi tumpuan meningkatkan kualiti pedagogi pendidikan seperti penyediaan smart TV dan peralatan digital selain memperkasa bidang Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam mendepani era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

"Dalam masa sama, peruntukan untuk pendidikan khas tidak diketepikan bagi mengurangkan kadar keciciran murid akibat jurang kemiskinan.

"Kerajaan juga perlu menambah bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) kepada RM5 di Semenanjung dan RM7 di Sabah dan Sarawak selaras dengan peningkatan kos sara hidup," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Azizee berkata, bagi golongan B40, skim biasiswa pendidikan perlu ditambah bilangan penerima.

Beliau berkata, usaha memulihkan sekolah daif dan sekolah yang mempunyai kepadatan murid juga perlu diberikan perhatian bagi merapatkan jurang pendidikan antara sekolah bandar dan luar bandar.

Menurutnya, penyelenggaraan dan pemulihan bangunan perlu diberikan perhatian supaya dapat dimanfaatkan untuk tujuan pusat latihan atau dijadikan asrama yang akan memberikan peluang kepada murid dari B40.

"Kerajaan juga diharap dapat memberi tumpuan kepada usaha menambah sekolah baharu bagi mengurangkan bilangan jumlah murid ramai di dalam kelas," katanya.

Sementara itu, Mohd Azizee berkata, usaha memartabatkan profesionalisme guru dengan menyediakan insentif sesuai yang boleh meningkatkan motivasi mereka.

Menurut beliau, antaranya termasuk pemberian insentif 'one off' untuk pembelian pengajaran secara digital, mewujudkan laluan Time-Based Gred 56 bagi pengurusan pentadbiran terutama barisan pengetua yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam pengurusan.

Katanya, pihaknya juga berharap kerajaan dapat mewujudkan perjawatan tetap kepada guru Kelas Agama Fardhu Ain (KAFA) atas khidmat dan sumbangan mereka.

pendidikan Islam.

"Latihan dan kemahiran yang berterusan kepada warga guru sebagai jentera utama kejayaan pendidikan negara juga harus diberikan perhatian selari dengan perubahan yang cepat dan pantas agar kualiti guru kita tidak ketinggalan.

"Sesungguhnya, pelaburan yang besar dan tinggi dalam sektor pendidikan adalah aset penting bagi melahirkan sumber manusia yang berkualiti, untuk negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2022 @ 3:16 PM