FOTO HIASAN. Arkib NSTP
FOTO HIASAN. Arkib NSTP
Mohd Amin Jalil


Seremban: Keutamaan perlu diberikan kepada guru interim yang terlatih untuk ditempatkan ke perjawatan tetap bagi memastikan pengalaman dan kemahiran mereka dapat dimanfaatkan semaksimum mungkin demi kelangsungan sistem pendidikan negara.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan berkata, sehubungan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu memberikan jaminan terhadap kedudukan guru interim.

Katanya, pihaknya menerima pelbagai aduan dan mendapat banyak maklum balas berkaitan kedudukan guru interim seperti mana yang hangat diperbincangkan di media sosial.

"Setakat ini, kami mendapati tiada kepastian terhadap kedudukan guru interim walaupun mereka sudah lengkap dengan pengalaman dan latihan tetapi kontrak mereka tidak dilanjutkan.

"Kami menggesa KPM mengutamakan guru interim yang terlatih untuk ditempatkan ke perjawatan tetap supaya pengalaman dan kemahiran mereka dapat dimanfaatkan sepenuhnya," katanya di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai isu guru interim susulan ciapan di Twitter oleh seorang guru interim Bahasa Inggeris yang memohon penjelasan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkenaan isu penamatan kontrak Guru Interim Bahasa Inggeris DC41 ambilan 2019 pada 21 April ini.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menerusi Presidennya Aminuddin Awang, turut kecewa, jika dakwaan guru interim ditamatkan kontrak dan menggesa KPM menyelesaikan segera isu berkenaan dengan baik.

Mengulas lanjut, Mohd Azizee berkata, guru Interim adalah guru sandaran berstatus DC41 yang ditempatkan di sekolah bagi menampung kekurangan guru di negara ini.

Menurutnya, mereka ditawarkan kontrak oleh KPM untuk mengajar dan pada masa yang sama perlu mengikuti latihan iktisas di institut pendidikan guru (IPG) secara Kursus Dalam Cuti (KDC).

"Mereka mendapat hampir keseluruhan keistimewaan sebagai penjawat awam guru (DG) kecuali beberapa aspek seperti elaun perumahan, cuti bersalin dan sebagainya.

"Namun, apa yang menyedihkan ialah ketika ini ramai dalam kalangan guru interim tidak dilanjutkan kontrak meskipun mereka sudah menamatkan latihan iktisas masing-masing.

"Ketidakpastian ini menjadi kebimbangan terhadap nasib dan masa depan guru interim yang boleh menjejaskan sistem pendidikan negara," katanya.

Mohd Azizee berkata, walaupun Mohd Radzi sudah mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) namun, tidak ada satu jaminan yang 'konkrit' diberikan oleh beliau dan SPP terhadap isu berkenaan.

Katanya, langkah pengambilan guru baharu seramai 18,000 orang adalah satu tindakan yang baik, namun ia perlu diselaraskan secara komprehensif supaya tidak timbul isu lain terutama berkaitan penempatan sebagai guru tetap.

"Justeru, kami (i-Guru) berharap KPM dapat mengambil langkah proaktif dan konstruktif untuk menyelesaikan nasib guru interim demi kelangsungan sistem pendidikan negara" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 9:27 AM