AZLINDA mengaku tidak bersalah atas 33 pertuduhan memalsukan dokumen di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO Omar Ahmad.
AZLINDA mengaku tidak bersalah atas 33 pertuduhan memalsukan dokumen di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO Omar Ahmad.
Omar Ahmad


Johor Bahru: Bekas kontraktor didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini, hari ini atas 33 pertuduhan memalsukan dokumen bagi mendapatkan tender kepada empat syarikat miliknya, lima tahun lalu.

Tertuduh, Azlinda Abd Aziz, 45 bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail, secara berasingan.

Mengikut kertas pendakwaan bagi 30 pertuduhan, tertuduh didakwa memalsukan dokumen Sijil Akuan Pendaftaran Syarikat Kementerian Kewangan Malaysia (KKM) dan Sijil Akuan Pendaftaran Syarikat Bumiputera KKM atas nama tiga syarikat dengan niat supaya dokumen palsu itu digunakan bagi tujuan hendak menipu.

Sementara, baki tiga pertuduhan lagi, tertuduh didakwa memalsukan dokumen Sijil Perakuan Pendaftaran CIDB Malaysia, Sijil Perolehan Kerja Kerajaan CIDB Malaysia dan Sijil Kontraktor Kerja Taraf Bumiputera Pusat Khidmat Kontraktor Kementerian Kerja Raya Malaysia, walhal sebenarnya ketiga-tiga sijil ini tidak wujud dan tidak diiktiraf oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK).

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara November 2017 hingga Oktober 2019 di Unit Perolehan Jabatan Khidmat Pengurusan, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sehingga tujuh tahun, dan denda.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dayang Masneh Deh.

Sementara, tertuduh diwakili peguam, Matthews Jud dan Omar Kutty Maiadr.

Hakim menetapkan tertuduh diikat jamin dengan nilai RM23,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dan pasport diserahkan kepada pihak Mahkamah sehingga perbicaraan selesai.

Mahkamah turut menetapkan 30 Mei depan sebagai tarikh penghantaran dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2022 @ 2:00 PM