Khairulmizan Yahya

Kuantan: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara satu bulan dan denda RM210,000 terhadap Pengarah Pusat Khidmat Kontraktor Pahang, Kementerian Kerja Raya, Shaiful Azman Taha atas kesalahan menerima rasuah membabitkan Sijil Kontraktor Taraf Bumiputera (STB).

Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain menjatuhkan hukuman itu terhadap Shaiful Azman, 45, yang mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara 10 bulan jika gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, Shaiful Azman didakwa menerima suapan berjumlah RM42,000 daripada juruteknik Syarikat NZH Murni Enterprise, Hamdan Mat Hassan.

Tertuduh didakwa menerima wang tunai itu sebagai dorongan mengeluarkan Sijil Kontraktor Taraf Bumiputera (STB) kepada syarikat berkenaan di sebuah rumah di Taman Pelindung Maju antara jam 3 petang hingga 4 petang, 21 Disember lalu.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda jumlah suapan mengikut mana-mana lebih tinggi.

Terdahulu, peguam Mohd Baharuddin Ahmad Kassim memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara minimum kepada tertuduh mengambil kira faktor kesihatan dan kesan dialaminya sepanjang pendakwaan berlangsung.

Menurutnya, sejak ditahan SPRM pada 2014 sehingga kini, tertuduh mengalami kemurungan yang serius dan akan dirujuk ke Jabatan Psikiatri Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, pada hujung bulan ini.

"Akibat pengakuan bersalah yang dibuat tertuduh, dia akan kehilangan pekerjaan selepas 14 tahun berkhidmat sekali gus hilang semua keistimewaan sebagai penjawat awam seperti pendapatan bulanan, keistimewaan rawatan perubatan, serta pencen," katanya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Rifah Izzati Abdul Mutalif memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan mengambil kira pengakuan bersalah dibuat tertuduh di peringkat pembelaan.

Menurutnya, 22 saksi pendakwaan sudah dipanggil memberi keterangan sejak kes berjalan bermula tahun 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2023 @ 4:49 PM
Pengarah Pusat Khidmat Kontraktor Pahang, Kementerian Kerja Raya (KKR), Shaiful Azman Taha, 45 di bawa ke Mahkamah Sesyen atas dakwaan menerima rasuah RM42,000 pada 2013, di Kompleks Mahkamah Indera Mahkota. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Pengarah Pusat Khidmat Kontraktor Pahang, Kementerian Kerja Raya (KKR), Shaiful Azman Taha, 45 di bawa ke Mahkamah Sesyen atas dakwaan menerima rasuah RM42,000 pada 2013, di Kompleks Mahkamah Indera Mahkota. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG