Abdul Rahemang Taiming

Tawau : Kontraktor yang juga pemilik syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 15 pertuduhan menggunakan dokumen palsu untuk mendapatkan kerja penyelenggaraan berjumlah lebih RM1.1 juta tiga tahun lalu.

Tertuduh, Lahama Abdul Halim, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan curangnya mengemukakan suatu dokumen palsu sebagai tulen iaitu penyata bank syarikat miliknya, Fajar Mario Engineering dan Raudhah Enterprise kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Prihatin 2020.

Selain 12 penyata akaun bank, tertuduh juga didakwa memalsukan dokumen Bahagian Pembangunan Kontraktor dan Usahawan, Perakuan Pendaftaran CIDB Malaysia, serta Sijil Perolehan Kerja CIDB Malaysia, yang kesemuanya atas nama syarikat Raudhah Enterprise.

Semua dokumen palsu berkenaan digunakan untuk tujuan menipu bagi mendapatkan sebutharga kerja-kerja penyelenggaraan bangunan dan pagar, baik pulih, naik taraf dan kemudahan lain yang berkaitan di empat sekolah menengah iaitu SMK Kinabutan, SMK Abaka, SMK Balung dan SMK Kalabakan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sekolah terbabit antara 17 hingga 28 Julai 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 468 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Nurul Izzati Sapifee menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah, dikehendaki melapor diri kepada SPRM Tawau dua bulan sekali serta dilarang mendekati saksi pendakwaan.

KETIGA-TIGA tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Tawau, di sini, atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu. FOTO  Abdul Rahemang Taiming
KETIGA-TIGA tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Tawau, di sini, atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu. FOTO Abdul Rahemang Taiming

Jason kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan deposit RM5,000 serta membenarkan kesemua syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan sementara menunggu sebutan semula kes pada 12 September depan.

Sementara itu, rakan pekongsi syarikat Fajar Mario Engineering, Norman Jamil, 42 dan seorang lagi pemilik bersama Raudhah Enterprise, Juhanifah Musa, 36, masing-masing turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat mengemukakan dokumen palsu bersama Lahama.

Norman berdepan sembilan pertuduhan manakala Juhanifah enam pertuduhan masing-masing didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 471 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 468 Kanun sama yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Norsham Syharom manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan kedua-dua pertuduhan itu disebut semula pada 12 September depan, dan menetapkan ikat jamin sebanyak RM20,000 (deposit RM5,000) selain tertuduh perlu melapor diri kepada SPRM Tawau dua bulan sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 3:24 PM