Yusof memerhatikan pekerja membina rumahnya bersebelahan rumah papannya yang rosak teruk akibat banjir di Kampung Telok Berembang, Lubok Cina dekat Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
Yusof memerhatikan pekerja membina rumahnya bersebelahan rumah papannya yang rosak teruk akibat banjir di Kampung Telok Berembang, Lubok Cina dekat Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Masjid Tanah: Program pembinaan semula rumah mangsa banjir mengikut Bantuan Banjir Keluarga Malaysia di daerah ini bermula hari ini.

Dua rumah dibina di daerah ini bagi membolehkan mangsa banjir yang mengalami kerosakan teruk akibat banjir besar pada 18 Disember lalu, meneruskan kehidupan di kediaman selesa.

Kedua-dua rumah berkenaan dibina di Kampung Telok Berembang, Lubok Cina dekat sini dengan kos seunit RM56,000 hasil peruntukan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Pejabat Pembangunan Negeri Melaka.

Mangsa banjir, Yusof Hassan, 72, berkata dia bersyukur apabila kerja pembinaan dimulakan hari ini selepas menunggu ia dimulakan sejak Disember lalu.

"Alhamdulillah, pembinaan rumah baharu adalah anugerah terindah Ramadan dan saya ucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan kerana sudi membantu.

"Insya-Allah rumah ini dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan dan sementara menunggu ia siap, saya menumpang di rumah anak," katanya ketika ditemui di kampung itu, hari ini.

Yusof berkata, dia bercadang menggunakan sisa rumah papan yang rosak teruk akibat banjir untuk membina stor perahu dan peralatan menangkap ikan.

"Walaupun struktur keseluruhan rumah papan itu masih wujud setakat ini, bahagian dalamannya sudah rosak teruk akibat ditenggelami air setinggi kira-kira tiga meter.

"Banjir pada awal pagi 18 Disember lalu adalah yang terburuk dalam tempoh 50 tahun selepas tebing Sungai Rembau runtuh," katanya.

Bagaimanapun kata Yusof, dia dan anak lelakinya berusia 40 tahun serta dua cucunya yang menghuni rumah berhampiran kediamannya sempat menyelamatkan diri daripada dihanyutkan arus deras banjir.

Pengarah ICU Melaka, Megat Azlani Megat Ramli dilaporkan berkata, ICU mengenal pasti dua rumah mangsa banjir di Lubok Cina dan satu di Kampung Pengkalan, Alor Gajah yang terbabit dalam pembinaan semula dengan setiap unit bernilai RM56,000.

Selain itu, 24 rumah di daerah Alor Gajah yang mengalami kerosakan serius dipilih untuk dibaik pulih dengan kos RM15,000 seunit.

ICU juga menjalankan kerja pembaikan beberapa rumah yang mengalami kerosakan kecil dengan kos RM5,000 seunit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2022 @ 2:38 PM