Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Pekerja restoran dihukum penjara 12 tahun dan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini atas kesalahan khianat terhadap harta benda dalam membantu aktiviti along, tahun lalu.

Tertuduh, Phua Chee Kang, 39, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan dalam prosiding berasingan didengar Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin dan Nariman Badruddin di Mahkamah Sesyen 2 dan 3.

Berdasarkan keempat-empat pertuduhan, dia didapati melakukan khianat dengan api terhadap harta benda milik empat individu di tempat dan masa berbeza antara 17 Januari hingga 9 Mac 2021.

Mengikut pertuduhan pertama di hadapan Hakim Maziah Joary, tertuduh didapati melakukan khianat dengan menggunakan api hingga menyebabkan kerosakan rumah milik Muhammad Amin Mohd Zufri, 22, di Taman Malim Jaya pada 17 Januari 2021, jam 9.10 malam.

Selain itu tertuduh bersama seorang rakan, Chiong Nyong Mok didapati melakukan khianat terhadap kediaman Tai Choon Siong, 59, di Taman Merdeka, Batu Berendam pada 9 Mac 2021, kira-kira jam 1 pagi.

Nyong Mok bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mahkamah menetapkan 18 Mei depan untuk sebutan keputusan representasi berhubung alibi dikemukakan tertuduh.

CHEE Kang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan didenda RM20,000 selepas mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan melakukan khianat menggunakan api tahun lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
CHEE Kang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan didenda RM20,000 selepas mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan melakukan khianat menggunakan api tahun lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad

Sementara itu, bagi tuduhan pertama di Mahkamah Sesyen 3, Chee Kang didapati melakukan khianat dengan api terhadap kediaman, Lee Ka Hang,31, di Taman Krubong Utama pada 6 Februari 2021, kira-kira jam 5.05 pagi.

Dia juga didapati melakukan khianat dengan api hingga menyebabkan kerosakan motosikal jenis Modenas Kriss dan Honda Wave serta Perodua Bezza dan kawasan parkir rumah milik Mohd Hanif Rusli, 34, di Taman Seri Krubong pada 18 Februari 2021, jam 4.30 pagi membabitkan kerugian kira-kira RM15,000.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda.

Hakim Maziah Joary menetapkan hukuman penjara tiga tahun bagi setiap pertuduhan di hadapannya, manakala Nariman juga menetapkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM10,000 bagi setiap dua lagi pertuduhan.

Nariman turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bukan jika gagal membayar denda itu.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap pada 10 Mac 2021.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin, Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Anis Najwa Nazari, manakala tertuduh diwakili peguam Amritpal Singh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2022 @ 5:16 PM