Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: "Saya pohon mahkamah menimbangkan mangsa baru berusia 11 tahun dan masih muda.

"Kepada siapa lagi dia hendak bergantung harap jika bapa kandung sendiri tergamak memperlakukan sebegitu kepadanya," kata Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari, memohon hukuman berat ke atas pemandu kren berusia 46 tahun atas dua kesalahan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandungnya.

Mahkamah juga katanya, perlu menimbangkan kesan trauma dialami kanak-kanak perempuan itu selain kes amang seksual membabitkan bapa kandung dan anak semakin berleluasa ketika ini.

"Saya juga pohon tertuduh dikenakan pengawasan polis mengikut Seksyen 27 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (AKSTK 2017) selain hukuman penjara," katanya sambil menambah hukuman berat itu bukan saja pengajaran kepada tertuduh, malah masyarakat untuk tidak melakukan kesalahan sama.

Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin dan Hakim Nariman Badruddin yang mendengar kes itu secara berasingan di Mahkamah Sesyen 2 dan 3 di sini, hari ini, masing-masing menjatuhi hukuman penjara tujuh tahun serta dua sebatan terhadap tertuduh yang mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan.

Hukuman penjara ditetapkan berjalan serentak daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 24 November 2021.

Mengikut pertuduhan di Mahkamah Sesyen 2, tertuduh sebagai orang yang mempunyai amanah iaitu bapa kandung didapati dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuannya berusia tujuh tahun 11 bulan ketika kejadian.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di sebuah rumah di Jalan Paya Mengkuang, Bukit Rambai di sini, pada tengah hari antara pertengahan Oktober hingga akhir Oktober 2018.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan Seksyen 14 (d) AKSTK 2017 dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama.

Seksyen 14 (d) membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat manakala Seksyen 16 (1) akta sama, membawa kepada hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat tidak kurang dua sebatan.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen 3, tertuduh didakwa mengulangi perbuatan sama terhadap mangsa yang ketika kejadian berusia 11 tahun pada 23 November 2021, kira-kira jam 2.30 pagi, di tempat sama.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (AKKSTK 2017) dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2022 @ 3:54 PM
TERTUDUH dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan empat sebatan selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandungnya pada Oktober 2018 dan November 2021. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
TERTUDUH dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan empat sebatan selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandungnya pada Oktober 2018 dan November 2021. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad