AHMAD Shabery bercakap ketika sidang media pada Simposium FELDA 2024 Sempena Kongres Ekonomi Bumiputera di Menara FELDA. FOTO Asyraf Hamzah
AHMAD Shabery bercakap ketika sidang media pada Simposium FELDA 2024 Sempena Kongres Ekonomi Bumiputera di Menara FELDA. FOTO Asyraf Hamzah
Mohd Nasaruddin Parzi

Kuala Lumpur: Felda sedang berkolaborasi dengan syarikat swasta untuk membangunkan kawasan bagi penghasilan larva lalat askar hitam atau black soldier fly (BSF) yang akan diguna sebagai sumber alternatif utama makanan ternakan.

Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, usaha terbaru itu jika dilaksana kvelak, negara dapat mengurangkan kebergantungan import negara terhadap bahan makanan berkenaan.

"Ada pihak sedang berkolaborasi dengan Felda untuk kemungkinan satu masa nanti, makanan ternakan dalam negara kita tak lagi bergantung kepada jagung dan kacang soya. Tetapi boleh gunakan BSF yang mengandungi protein tinggi dan boleh menjadi asas kepada panggubahan dedak baru untuk makanan ayam dan sebagainya.

"Bagaimana BSF ini dapat dibiakkan, kita fikirkan dalam kerjasama ini. Felda menggunakan sisa sawit yang dahulu nilainya sangat rendah atau tiada nilai, terpaksa kita bayar untuk buang.

"Tetapi sekarang kita boleh jadikan makanan untuk BSF yang dapat menghasilkan asas penting dalam membangunkan makanan ternakan kepada ayam, lembu atau itik," katanya dalam sidang media pada Simposium Felda 2024 Sempena Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di sini, hari ini.

Simposium sehari itu dihadiri kira-kira 1,000 peserta termasuk dari kalangan peneroka Felda.

Mengulas lanjut, beliau berkata, usaha itu antara tumpuan baru Felda dalam meneroka sistem ekonomi kitaran, yang dilihat mampu menjana manfaat serta pulangan baru kepada Felda.

"Kalau ia berlaku, kebergantungan kita kepada jagung yang diimport akan berkurangan. Keperluan jagung yang kita pakai, kalau tanam sendiri memerlukan tanah sekurang-kurangnya 200,000 hektar. Itu lebih besar dari kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Kedah dan Perlis.

"Sebab itu sistem ekonomi kitaran ini, kita ada sumber-sumber baru untuk menghasilkan makanan ternakan. Ini antara perkara boleh kita perkenalkan dalam sistem baru untuk menguruskan ekonomi dan makanan dalam negara," katanya.

Mengulas lanjut mengenai ekonomi kitaran, beliau berkata, ia memerlukan pembaharuan dasar kerajaan, khususnya berkaitan hala tuju ekonomi kitaran sekiranya sistem ini mahu dilaksana nanti.

"Contohnya, dulu kita cakap tentang mengusahakan ladang, untuk kita keluarkan buah tandan segar. Selepas itu, kita fokus kepada menghasilkan minyak sawit mentah atau CPO. Kalau kita lihat, sekiranya buah tandan segar yang dihantar boleh capai 23 peratus OER atau kadar perahannya, maka itu sudah baik.

"Tetapi yang lebihannya ada apa? Ada sabut, sisa-sisa sawit yang dulu dianggap tidak berguna, tetapi sisa ini merupakan satu perkara penting kerana ia boleh menghasilkan biomas.

"Boleh kita tukar jadi baja dan sumber tenaga. Ini perlu dinilai juga menjadi sumber pendapatan baru yang mesti difikirkan," katanya.

Menyentuh simposium itu, Ahmad Shabery berkata, rumusannya akan dikemukakan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera yang dijadual berlangsung pada 29 Februari hingga 3 Mac depan.

"Felda ada 800,000 hektar tanah tapi persoalan ditimbulkan apakah fokus yang diberikan Felda akan datang. Fokus pertama kerja perladangan. Sepatutnya kita mampu keluarkan hasil yang baik.

"Kita juga ada fokus lain seperti aspek keterjaminan makanan. Kalau negara kita memiliki tanah, bagaimana tanah ini digunakan sebaiknya untuk memberikan jaminan menghasilkan makanan.

"Kita bercakap soal penggunaan tanah, apakah perlu ada pendekatan baru atau perubahan dari segi undang-undang, supaya tanah digunakan dengan lebih baik dari yang ada sekarang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 1:09 PM