SUHAILI memberikan BSF kepada ikan peliharaan.
SUHAILI memberikan BSF kepada ikan peliharaan.
Nurul Husna Mahmud


DEDAK atau makanan untuk ternakan antara kos paling tinggi yang perlu ditangani penternak ayam dan ikan.

Ketika ini harga bagi sekilogram palet sekitar RM2 hingga RM3.

Untuk 2,000 ekor ayam memerlukan 4,000 tan dedak sebulan dan kosnya mencecah RM8,000.

Ini sekali gus menjejaskan pendapatan penternak apatah lagi ternakan ikan kerana keuntungannya kecil dan tidak berbaloi dengan kos operasi selain penat menguruskan ternakan.

Itu antara dilema penternak kecil bumiputera apabila isu harga makanan ternakan melonjak selain bebanan kos sampingan iaitu hormon dan vitamin bagi mempercepatkan tumbesaran ternakan sebelum dijual.

Menurut Pengasas Laman Akuakultur Komuniti (LAUK) Suhaili Rapiai, penternak kecil perlu beralih kepada menghasilkan makanan alternatif iaitu 'black soldier fly' (BSF) atau larva lalat askar hitam.

BSF dikeringkan untuk jualan kepada pembekal makanan haiwan peliharaan.
BSF dikeringkan untuk jualan kepada pembekal makanan haiwan peliharaan.

"BSF sudah digunakan secara meluas di ladang luar negara kerana kandungan proteinnya tinggi sekitar 40 hingga 42 peratus selain 32 peratus lemak yang memang sesuai untuk haiwan ternakan terutama ayam dan ikan.

"Manfaat lain bagi penternak yang memilih diet ternakan BSF, kaedah ini lebih organik kerana kandungan haiwan itu yang mempunyai antibiotik dan vitamin semula jadi yang diperlukan untuk pembesaran ternakan.

"Untuk rumusan diet bagi menghasilkan sekilo daging ayam atau ikan, kira-kira sekilogram larva dan ia boleh diternak sendiri dengan kaedah tertentu.

"Berdasarkan pengalaman saya bersama penternak, bagi yang memilih menggunakan BSF dalam diet ternakan, mereka boleh meningkatkan pulangan sekitar 50 sehingga 100 peratus apabila menternak sendiri larva berkenaan," katanya.

Kata Suhaili, makanan alternatif serangga ini sudah diperkenalkan di Malaysia sejak lima tahun lalu.

BSF sedia diberi kepada haiwan ternakan biarpun pada saiz anak ayam.
BSF sedia diberi kepada haiwan ternakan biarpun pada saiz anak ayam.

Malah katanya, dia sendiri mengusahakan pembiakan BSF untuk bekalan induk kepada penternak serta pembekal di kedai makanan haiwan peliharaan sejak tiga tahun lalu.

"Ketika ini ladang ternak saya boleh menghasilkan sekurang-kurangnya 100 kilogram BSF sebulan mengikut permintaan.

"Ketika ini operasi dibantu isteri, Ruzilawati Amat dan anak-anak untuk mengutip telur setiap dua hari.

"Mengenai kitaran lalat ini daripada induk ke induk kembali ialah satu bulan tetapi untuk tuaian larva adalah dalam tempoh dua minggu sebelum diberikan kepada haiwan ternakan.

"Tiada kekangan untuk haiwan diberikan larva ini walaupun usia ternakan baru empat hari.

"Kalau untuk simpanan atau jualan komersial biasanya akan dikeringkan dan harganya lebih tinggi di pasaran," katanya turut aktif memperkenalkan BSF menerusi platform Facebook miliknya.

Melalui penggunaan serangga ini, mikro organisma berbahaya yang terdapat di dalam sisa organik seperti Escherichia, Salmonella atau koloni enterobakteria yang lain berkurangan atau terhapus selepas dihadam oleh larva lalat askar hitam.

PROSES memisahkan larva untuk dituai dan sebahagian kecil disimpan sebagai induk.
PROSES memisahkan larva untuk dituai dan sebahagian kecil disimpan sebagai induk.

"Bahkan larva itu mampu menukar sampah domestik seperti sisa makanan sebagai baja kompos.

"Jadi boleh dikatakan amalan menternak serangga ini lebih mesra alam menerusi sisa sifar.

"Saya sendiri menjual sisa daripada bekas tuaian kepada petani kerana komponen itu adalah baja organik sesuai untuk tanaman," katanya.

Mengenai kualiti daging ternakan yang menggunakan diet larva lalat hitam, kata Suhaili, penternak yang menggunakan sepenuhnya diet BSF boleh diklasifikasikan mengeluarkan daging organik.

"Daging ternakan yang diberikan BSF ternakan lebih pejal, tiada bau dan manis rasanya.

LALAT hitam dewasa hidup hanya untuk bertelur.
LALAT hitam dewasa hidup hanya untuk bertelur.

"Dengan kualiti daging sedemikian, rasanya penternak boleh tingkatkan keuntungan mereka apabila boleh diletakkan dalam pasaran organik,"katanya.

Turut berkongsi mengenai tip diet ternakan baik, kata Suhaili selain BSF, dia menggunakan ketum ayam dan azola untuk diet ternakannya.

Katanya, setiap pagi ayam ternakannya diberi ketum ayam dan pada sebelah petang diberikan makanan campuran iaitu 70 peratus azola, 30 peratus BSF dan ditingkatkan dengan campuran EM iaitu baja organik yang mengandungi bakteria baik untuk pertumbuhan haiwan ternakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 5:30 AM